Bill Gates nafi salah laku dalam fail Epstein - Utusan Malaysia

Bill Gates nafi salah laku dalam fail Epstein

GAMBAR fail Bill Gates. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pengasas Microsoft, Bill Gates menafikan sebarang salah laku melibatkan dirinya selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendedahkan hampir tiga juta halaman dokumen berkaitan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein.

Beliau yang memberikan komen buat pertama kali selepas pendedahan DOJ itu menganggap  keputusannya meluangkan masa bersama Epstein itu sebagai satu kesilapan besar.

Dalam wawancara bersama saluran televisyen 9 News Australia, Gates, 70, turut menafikan dakwaan tidak berasas yang terkandung dalam draf e-mel ditulis Epstein pada 2013 menerusi pendedahan terbaharu DOJ pada Jumaat minggu lalu.

“Jeffrey (Epstein) kelihatan menulis satu e-mel kepada dirinya sendiri. E-mel itu tidak pernah dihantar. E-mel itu palsu.

“Saya tidak tahu apa yang difikirkannya ketika itu. Apa yang pasti, setiap minit saya meluangkan masa dengannya, saya kesal dan saya memohon maaf kerana berbuat demikian,” kata Gates dalam wawancara yang dirakam di Australia.

Gates berkata, beliau pertama kali bertemu Epstein pada 2011 selepas lelaki itu disabitkan kesalahan pada 2008 di Florida kerana mendapatkan khidmat pelacuran daripada seorang gadis bawah umur. 

Katanya, ketika itu beliau menyangka Epstein mampu memperkenalkannya kepada individu-individu kaya lain yang berpotensi menyumbang dana kepada program bantuan Yayasan Gates.

“Fakta sebenarnya ialah saya hanya hadir ke majlis makan malam. Saya tidak pernah pergi ke pulau itu, saya tidak pernah bertemu mana-mana wanita,” kata Gates, merujuk pulau persendirian Epstein di Kepulauan Virgin yang didakwa menjadi lokasi eksploitasi seksual terhadap puluhan wanita dan gadis bawah umur. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN