WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) skeptikal bahawa satu perjanjian boleh dicapai dengan Iran yang diadakan di Oman hari ini berbanding di Istanbul, Turkiye seperti mengikut perancangan awal sebagai usaha mengelak diserang oleh kuasa besar itu.
Masa depan rundingan itu pada mulanya menimbulkan keraguan selepas satu laporan awal kelmarin menyatakan bahawa perbincangan antara dua musuh tradisi itu hampir musnah akibat pertikaian mengenai format rundingan dan lokasi pertemuan.
Ketidakpastian itu telah meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan ketenteraan baharu Amerika terhadap Teheran ketika suasana ketegangan yang semakin memuncak sejak Iran bertindak keras mematahkan antara protes terbesar terhadap pemerintahannya sejak Revolusi Islam 1979.
Laman berita Axios bagaimanapun melaporkan bahawa sekurang-kurangnya sembilan pemimpin Arab berjaya melobi Rumah Putih supaya tidak menarik diri daripada rundingan itu namun nama mereka tidak didedahkan.
“Mereka meminta kami mengekalkan pertemuan dan mendengar apa yang ingin disampaikan oleh pihak Iran. Kami telah memberitahu negara-negara Arab bahawa kami akan mengadakan pertemuan jika mereka bertegas. Tetapi, kami sangat skeptikal,” kata seorang pegawai kepada media tersebut.
Menurut laporan saluran televisyen Channel 12 Israel, Utusan AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, yang berada di Abu Dhabi, dijangka pergi ke Qatar untuk berunding dengan Perdana Menteri, Mohammed Abdulrahman Al Thani sebelum rundingan di Oman diadakan..
Seorang lagi pegawai AS berkata. pentadbiran Trump bersetuju untuk meneruskan rundingan demi menghormati sekutu AS di rantau itu dan untuk meneruskan pendekatan diplomatik.
Amerika mengancam untuk menyerang selepas lebih 3,000 penunjuk perasaan terbunuh dalam protes ekonomi yang bertukar menentang kepimpinan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan bermula sejak hujung tahun lalu
ISU LOKASI
Namun, Iran pada Selasa lalu menyatakan mereka mahu rundingan dipindahkan ke Oman dan dijalankan dalam format dua hala supaya ia hanya tertumpu kepada isu nuklear dan bukan isu lain seperti peluru berpandu yang menjadi keutamaan AS serta negara-negara rantau tersebut.
Pegawai AS pada mulanya terbuka kepada perubahan lokasi, kemudian menolaknya, sebelum bersetuju semula selepas Axios melaporkan bahawa rundingan tersebut dibatalkan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengesahkan di platform X bahawa rundingan dijadualkan berlangsung di Muscat sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan hari ini, sambil mengucapkan terima kasih kepada Oman kerana membuat semua persiapan.
Sebelum ini, diplomat menyatakan rundingan akan diadakan di Turkiye, namun Axios melaporkan AS hampir menarik diri susulan pertikaian dengan Iran mengenai lokasi dan sama ada program peluru berpandu balistik Teheran perlu dimasukkan dalam agenda.
Kebuntuan itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan meluas di rantau tersebut yang Trump mungkin beralih kepada tindakan ketenteraan.
Walaupun rundingan disahkan diteruskan, Trump terus meningkatkan tekanan terhadap Iran.
“Saya rasa beliau patut berasa sangat bimbang,” kata Trump merujuk kepada Khamenei, dalam wawancara bersama NBC News.
Trump turut mendakwa Iran sedang mempertimbangkan pembinaan kemudahan nuklear baharu selepas serangan AS ke atas tapak nuklear Iran semasa perang antara Israel dengan Iran pada Jun tahun lalu.
“Mereka berfikir untuk memulakan tapak baharu di bahagian lain negara itu. Kami mengetahuinya dan saya berkata, jika kamu lakukan itu, kami akan bertindak sangat keras,” katanya.
Seorang pegawai kanan AS sebelum ini berkata kepada Axios, AS mahu mencapai perjanjian sebenar dengan cepat atau mula melihat pilihan lain, merujuk kepada ancaman tindakan ketenteraan oleh Trump.
Pegawai AS lain menegaskan Washington enggan kembali kepada pendekatan lama.
“Jika ada perjanjian, ia mesti perjanjian sebenar,” katanya.
SKOP RUNDINGAN
Pada Selasa lalu, Witkoff mengadakan pertemuan di Israel dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu; Menteri Pertahanan, Israel Katz; Ketua Staf Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Eyal Zamir; Pengarah Mossad, David Barnea dan pegawai kanan pertahanan negara itu bagi menyelaraskan pendirian menjelang rundingan dengan Iran.
Menurut pegawai Israel, Witkoff diberi taklimat mengenai risikan terbaharu Israel berkaitan program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran, selain tindakan keras Teheran terhadap protes antikerajaan.
Saluran Channel 12, melaporkan pegawai Israel memberi amaran Iran sedang melengah-lengahkan rundingan dan bertindak dengan niat tidak jujur.
Witkoff dilaporkan memberi jaminan AS memahami garis merah Israel dan tidak akan mengejar perjanjian pada apa jua harga.
Trump telah menghantar satu kumpulan kapal pengangkut pesawat Amerika yang digelarnya sebagai sebuah armada ke rantau tersebut, dan salah sebuah pesawatnya telah menembak jatuh sebuah dron Israel pada Selasa lalu.
Iran pula mengancam akan membalas serangan terhadap sasaran AS di rantau itu sekiranya ia diserang.
Dalam rundingan-rundingan sebelum ini mengenai program nuklear yang dipertikaikan, Iran telah menolak perbincangan mengenai peluru berpandu.
Penolakan itu kerana Teheran menganggap senjata yang mampu menyerang Israel itu sebagai alat pertahanan diri yang menurutnya merupakan hak setiap negara.
Namun, Iran kini berada di bawah tekanan yang semakin meningkat akibat gelombang protes rakyatnya akibat situasi ekonomi di negara berkenaan.
Iran juga telah kehilangan sekutu-sekutu utama di rantau tersebut susulan tindakan Israel yang melemahkan Hezbollah di Lubnan secara besar-besaran serta kejatuhan Presiden Syria yang telah lama berkuasa, Bashar Al-Assad. – AGENSI/AFP










