Australia elak respons gesaan tangkap Presiden Israel - Utusan Malaysia

Australia elak respons gesaan tangkap Presiden Israel

GAMBAR fail Isaac Herzog (tengah) di Meitar, Israel. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY – Kerajaan Australia hari ini mengelak daripada memberi respons terus terhadap gesaan supaya Presiden Israel, Isaac Herzog, ditangkap apabila beliau melawat negara itu untuk memberi penghormatan kepada mangsa satu insiden tembakan beramai-ramai bersifat anti-Semitik di Pantai Bondi, Sydney.

Herzog telah dijemput untuk lawatan selama empat hari bermula Isnin lalu bagi bertemu komuniti Yahudi selepas serangan pada 14 Disember tahun lepas berhubung sambutan perayaan kaum itu yang mengorbankan 15 orang.

Satu siasatan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati pada tahun 2025, Herzog telah menghasut perlakuan genosid apabila beliau menyatakan bahawa semua rakyat Palestin bertanggungjawab terhadap serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Israel telah menolak secara tegas laporan siasatan tersebut, menyifatkannya sebagai diputarbelitkan dan palsu serta menggesa agar badan dunia tersebut dibubarkan.

“Beliau (Herzog) sepatutnya ditangkap jika datang,” kata peguam hak asasi manusia, Chris Sidoti, yang juga merupakan ahli Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB yang menyiasat pelanggaran hak asasi manusia di Israel dan wilayah Palestin.

Sidoti secara terbuka menggesa agar jemputan terhadap Herzog ditarik balik atau beliau ditangkap sebaik tiba.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese telah melakukan satu kesilapan bodoh dengan menjemput ketua negara Israel itu, kata peguam tersebut kepada AFP.

“Ia adalah keputusan yang salah, dan ia perlu dibatalkan sebelum terlambat,” ujar Sidoti.

Apabila ditanya mengenai gesaan supaya Herzog ditangkap, Menteri Luar Australia, Penny Wong, berkata, beliau dijemput oleh kerajaan selaras dengan kehendak komuniti Yahudi.

“Presiden Herzog dijemput ke Australia untuk menghormati mangsa-mangsa (tembakan) di Bondi dan untuk bersama serta memberikan sokongan kepada komuniti Yahudi Australia susulan serangan pengganas di tanah air dan serangan anti-Semitik paling buruk yang pernah kita saksikan,” katanya.

Aktivis pro-Palestin telah menyeru supaya diadakan bantahan di seluruh negara terhadap lawatan Herzog, termasuk di Sydney, di mana pihak polis telah menolak untuk memberi kebenaran demonstrasi di bawah kuasa baharu yang diberikan selepas serangan di Bondi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN