WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada kapal dagang berdaftar membawa bendera negaranya supaya mengelakkan perairan wilayah Iran di rantau Teluk susulan risiko pencerobohan dan ditahan oleh pihak berkuasa Teheran.
Nasihat itu dikeluarkan ketika Washington meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau berkenaan susulan ketegangan yang semakin memuncak dengan Teheran.
Jabatan Pengangkutan AS menerusi Pentadbiran Maritim (MARAD) pada Isnin lalu mengeluarkan satu nasihat keselamatan selama enam bulan, berkuat kuasa sehingga 8 Ogos depan, yang menyatakan terdapat risiko pemeriksaan, penahanan, rampasan atau penyitaan secara haram oleh pasukan Iran.
“Adalah disyorkan supaya kapal dagang membawa bendera AS yang melalui perairan ini berada sejauh mungkin dari laut wilayah Iran tanpa menjejaskan keselamatan pelayaran,” menurut kenyataan nasihat itu.
MARAD turut mengesyorkan kapal yang belayar ke arah timur di Selat Hormuz supaya menggunakan transit laluan berhampiran laut wilayah Oman bagi mengurangkan sebarang risiko.
Menurut agensi itu, kapal dagang yang melalui Selat Hormuz dan Teluk Oman sejak sekian lama berdepan ancaman disoal, dinaiki, ditahan atau dirampas oleh pasukan Iran.
Jika dipanggil oleh pihak berkuasa Iran, kapal-kapal digesa memaklumkan nama dan negara bendera masing-masing selain memberitahu bahawa pelayaran dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa.
Kapten kapal juga dinasihatkan supaya menolak kebenaran untuk dinaiki anggota-anggota pihak berkuasa Iran dengan merujuk pematuhan kepada Konvensyen Undang-Undang Laut. Namun, kru-kru tidak digalakkan melakukan tentangan secara fizikal sekiranya ia berlaku.
MARAD turut mengesyorkan semua kapal memastikan Sistem Pengenalpastian Automatik (AIS) sentiasa diaktifkan, memandangkan beberapa kes rampasan oleh Iran sebelum ini didakwa berlaku kerana kapal tidak memancarkan isyarat AIS. – AGENSI










