LOS ANGELES: 15 negeri Amerika Syarikat (AS) yang dipimpin Parti Demokrat memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung keputusan mengurangkan jumlah pengesyoran vaksin pediatrik yang disifatkan sebagai bertentangan dengan sains.
Reformasi tersebut diumumkan pada Januari lalu oleh Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS di bawah Robert F. Kennedy Jr. yang sekian lama meragui keberkesanan vaksin.
Ini bermakna negara itu tidak lagi mengesyorkan imunisasi wajib bagi beberapa penyakit, termasuk rotavirus, influenza dan Covid-19 untuk setiap kanak-kanak.
Sebaliknya, tujuh jenis vaksin yang terlibat kini hanya disyorkan kepada kanak-kanak yang berisiko tinggi sahaja. Langkah itu sekali gus membatalkan saranan berasaskan sains selama bertahun-tahun yang terbukti berjaya mengurangkan penularan penyakit melalui suntikan rutin.
“Setiausaha RFK Jr. dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) kendalian beliau memperlekehkan penyelidikan saintifik selama berdekad, mengabaikan pakar perubatan bertauliah serta mengancam untuk membebankan sumber negeri dan menjadikan kanak-kanak AS lebih sakit,” tegas Peguam Negara California, Rob Bonta, dalam satu sidang akhbar semalam.
Selain Kennedy, CDC dan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia turut dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman yang diketuai bersama oleh Peguam Negara Arizona.
Antara vaksin lain yang ditarik balik status pengesyoran sejagat, termasuk vaksin untuk hepatitis A, penyakit meningokokus, virus pernafasan sinsitium (RSV) serta virus hepatitis B yang sangat berjangkit.
Peralihan dasar Washington terhadap jadual vaksinasi kanak-kanak mencetuskan kebimbangan dalam komuniti perubatan.
Bulan lalu, pentadbiran Trump mempertahankan tindakan tersebut dengan alasan untuk menyelaraskan dasar vaksinasi AS dengan negara lain, serta menjadikan Denmark sebagai contoh.
Bagaimanapun, pakar kesihatan berpendapat Denmark merupakan sebuah negara kecil yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan berpusat serta jaminan akses rawatan sejagat, berbeza dengan AS yang mempunyai sistem kesihatan swasta yang tidak menyeluruh dan meninggalkan jutaan rakyat tanpa perlindungan insurans.
“Meniru jadual vaksin Denmark tanpa meniru sistem penjagaan kesihatannya tidak memberikan keluarga lebih banyak pilihan, ia hanya membiarkan kanak-kanak tanpa perlindungan daripada penyakit serius,” kata Peguam Negara Arizona, Kris Mayes.
Isu ini juga dilihat semakin berbaur politik dengan penglibatan Gabenor California, Gavin Newsom, yang merupakan pengkritik tegar Trump.
“California akan kembali ke mahkamah kerana pentadbiran Trump melanggar undang-undang persekutuan dan mempromosikan jadual vaksin kanak-kanak yang tidak saintifik serta meluru yang menggadaikan nyawa kanak-kanak,” kata Newsom dalam satu kenyataan.
Beliau menambah tindakan menghakis keyakinan terhadap vaksin akan menyebabkan kadar vaksinasi menurun dan meningkatkan kes penyakit berjangkit.
Antara negeri lain yang turut menyertai saman tersebut ialah Colorado, Michigan, New Jersey dan Wisconsin. -AFP









