UAE, Bahrain, Belarus, Azerbaijan sertai Lembaga Keamanan Trump

UAE, Bahrain, Belarus, Azerbaijan sertai Lembaga Keamanan Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Belarus dan Azerbaijan secara rasmi menyertai badan baharu yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang dikenali sebagai Board of Peace (Lembaga Keamanan).

Kementerian Luar UAE mengesahkan menerima jemputan untuk menyertai badan tersebut. Abu Dhabi menyatakan kesediaan untuk menyumbang secara aktif kepada misi lembaga itu dalam menyokong kerjasama, kestabilan, dan kemakmuran sejagat, sekali gus menandakan penjajaran rasmi negara itu dengan usaha penyelesaian konflik terbaharu Washington.

Dalam masa yang sama, Kementerian Luar Bahrain turut mengumumkan penerimaan jemputan Trump untuk menjadi ahli pengasas lembaga berkenaan.

Azerbaijan  turut memaklumkan bersetuju menyertai lembaga tersebut.

“Azerbaijan, seperti biasa, bersedia untuk menyumbang secara aktif kepada kerjasama antarabangsa, keamanan dan kestabilan,” kata Kementerian Luar Azerbaijan dalam satu kenyataan.

Secara berasingan, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko  menandatangani perjanjian untuk menyertai badan tersebut.

Saluran Telegram rasmi presiden menyiarkan video Lukashenko menandatangani dokumen berkenaan dan memetik harapan beliau untuk menyumbang ke arah perdamaian di Ukraine.

Trump pada asalnya mencadangkan penubuhan lembaga itu ketika mengumumkan pelan menamatkan konflik di Gaza pada September lalu.

Bagaimanapun, surat jemputan yang dihantar kepada pemimpin dunia minggu lalu menunjukkan badan itu bakal memainkan peranan lebih luas dalam menamatkan pelbagai konflik di peringkat global.

Menurut draf piagam yang dihantar kepada kira-kira 60 buah negara dan dilihat oleh Reuters, ahli yang ingin mengekalkan keahlian melebihi tempoh tiga tahun dikehendaki menyumbang dana sebanyak AS$1 bilion (RM4.05 bilion) secara tunai.

Penyertaan ‘piagam’ dalam surat jemputan tersebut telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan beberapa kerajaan Eropah.

Mereka berpendapat badan ini boleh menjejaskan peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang sebelum ini dituduh oleh Trump sebagai tidak menyokong usahanya untuk menamatkan konflik dunia.

Berdasarkan surat itu, Trump akan mempengerusikan lembaga tersebut seumur hidup. Tempoh keahlian negara anggota pula dihadkan kepada tiga tahun, kecuali jika mereka membayar AS$1 bilion untuk membiayai aktiviti lembaga tersebut bagi mendapatkan status ahli tetap.

“Ini sekadar menawarkan keahlian tetap kepada negara rakan kongsi yang menunjukkan komitmen mendalam terhadap keamanan, keselamatan, dan kemakmuran,” kata Rumah Putih dalam satu hantaran di laman X.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Norway, Andreas Motzfeldt Kravik, memberitahu akhbar harian Aftenposten pada Selasa Norway tidak akan mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut berdasarkan pelan yang dibentangkan setakat ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN