Trump ugut pemangku Presiden Venezuela jika enggan kerjasama

Trump ugut pemangku Presiden Venezuela jika enggan kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Ahad memberi amaran kepada pemangku Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez akan menanggung ‘akibat yang sangat besar’ sekiranya enggan bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), susulan penahanan Presiden, Nicolas Maduro.

Trump berkata, jika presiden pemangku itu tidak melakukan perkara yang betul, beliau akan menerima hukuman yang lebih besar daripada Maduro.

“Jika Rodríguez tidak melakukan perkara yang betul, dia akan menanggung akibat yang sangat besar, mungkin lebih besar daripada yang dikenakan ke atas Maduro,” kata Trump dalam satu temu bual telefon bersama majalah The Atlantic.

Pada awal pagi Sabtu, pasukan AS melancarkan serangan ke atas Caracas, menyasarkan beberapa kemudahan ketenteraan sebelum menahan Maduro dan isterinya untuk dibawa ke New York bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengedaran dadah di peringkat persekutuan.

Maduro dijadualkan hadir di mahkamah Manhattan pada Isnin.

Pentadbiran Trump berkata, AS bersedia bekerjasama dengan baki kepimpinan kerajaan Venezuela selagi kepentingan Washington dipenuhi, khususnya membuka peluang pelaburan AS dalam rizab minyak mentah Venezuela yang besar.

Keadaan di Caracas dilaporkan kembali tenang selepas serangan mengejut itu.

Wartawan AFP melaporkan orang ramai beratur membeli makanan di kedai runcit, manakala kehadiran anggota polis bersenjata lengkap yang kelihatan sehari sebelumnya sudah tidak kelihatan.

Tentera Venezuela mengumumkan pengiktirafan terhadap Rodríguez sebagai presiden pemangku yang sebelum ini merupakan naib presiden di bawah pentadbiran Maduro dan menggesa rakyat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Namun, tindakan Trump mencetuskan persoalan mengenai hala tuju strateginya.

Sementara itu, Ketua Demokrat di Senat AS, Chuck Schumer berkata kepada ABC News bahawa rakyat AS terkejut dan bimbang dengan perkembangan itu.

Dalam kenyataan pertamanya sejak serangan AS, Rodríguez mengambil pendirian tegas dengan menyatakan bahawa Maduro masih merupakan satu-satunya pemimpin sah Venezuela, sambil menegaskan negaranya bersedia mempertahankan sumber semula jadi.

Beberapa negara termasuk Brazil, Chile, Colombia, Mexico, Uruguay dan Sepanyol dalam satu kenyataan bersama menyuarakan penolakan terhadap operasi AS itu serta menyatakan kebimbangan terhadap sebarang usaha campur tangan luar, termasuk kawalan kerajaan atau penguasaan sumber strategik Venezuela. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN