DAVOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trumpsecara mengejut menarik balik ancaman untuk mengenakan tarif terhadap lapan negara Eropah sebagai tekanan bagi menguasai Greenland.
Beliau turut menolak penggunaan kekerasan dan memberi bayangan satu perjanjian sedang dibentuk bagi menamatkan pertikaian mengenai wilayah Denmark itu, yang sebelum ini berisiko mencetuskan keretakan paling serius dalam hubungan transatlantik sejak beberapa dekad.
Pada hujung minggu lalu, beliau mengancam untuk mengenakan tarif berperingkat ke atas eksport ke AS dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom (UK), Belanda dan Finland.
Namun, selepas bertemu Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte di resort Alpine Switzerland itu, Trump berkata, sekutu Barat di Artik boleh memeterai satu perjanjian baharu mengenai wilayah pulau strategik yang dihuni kira-kira 57,000 penduduk itu.
Perjanjian tersebut, menurutnya, akan memenuhi hasrat beliau untuk membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu Golden Dome serta mendapatkan akses kepada mineral kritikal, sambil menghalang pengaruh Russia dan China di Artik.
“Ia satu perjanjian yang semua pihak sangat gembira. Ia perjanjian jangka panjang. Perjanjian jangka panjang yang muktamad.
“Ia meletakkan semua pihak dalam kedudukan yang sangat baik, terutamanya dari segi keselamatan dan mineral. Ia perjanjian yang kekal,” kata Trump kepada pemberita.
Awal hari yang sama, Trump menyampaikan ucapan lebih sejam yang bersifat menegur dan mengandungi ancaman meremehkan terhadap negara-negara yang sudah pun resah dengan desakannya untuk menguasai wilayah milik sekutu lama NATO.
Diplomat Eropah berkata, perubahan nada secara tiba-tiba itu tidak menyelesaikan pertikaian sepenuhnya, namun membantu meredakan ketegangan terbuka antara sekutu ketika mereka berusaha menyelesaikan perbezaan secara tertutup.
Masih belum jelas bentuk perjanjian yang mampu memenuhi tuntutan Trump untuk pemilikan secara langsung ke atas wilayah yang penduduk serta pemimpinnya berulang kali menegaskan bukan untuk dijual.
“Rundingan antara Denmark, Greenland dan AS akan diteruskan dengan matlamat memastikan tiada jejak dari Russia dan China sama ada secara ekonomi atau ketenteraan di Greenland,” kata seorang jurucakap NATO.
Tiada tarikh atau lokasi rundingan tersebut diumumkan. Trump berkata, beliau menghantar Naib Presiden, JD Vance; Setiausaha Negara, Marco Rubio dan utusan khas, Steve Witkoff untuk terlibat dalam perbincangan lanjut.









