Trump serang sekutu AS, guna pentas WEF perkukuhkan usaha cengkam Greenland

Trump serang sekutu AS, guna pentas WEF perkukuhkan usaha cengkam Greenland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAVOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026 sebagai medan untuk ‘menyerang’ sekutu Barat dan meningkatkan usaha mendapatkan Greenland, walaupun mendapat tentangan daripada negara-negara Eropah. 

Tindakan ini menandakan ketegangan terbesar dalam hubungan transatlantik dalam beberapa dekad.

Tindakan beliau meninggalkan pakatan transatlantik dalam keadaan yang mungkin paling rapuh sejak Perang Dunia II dan menekankan beliau bertekad untuk menggunakan pentas forum tersebut bagi memperkukuhkan cengkaman kuasanya.

Perjalanan itu bermula dengan kurang baik apabila jet presiden terpaksa berpatah balik selepas masalah elektrik kecil dan Trump serta rombongannya terpaksa menaiki pesawat lain.

NATO DAN KONTROVERSI DIPLOMATIK

Dalam sidang media pada Selasa, Trump berkata, beliau akan mengadakan pertemuan mengenai wilayah Denmark itu di Davos dan optimis satu persetujuan akan dicapai.

“Saya fikir kita akan dapat menyelesaikannya di mana Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan sangat gembira dan kita juga akan gembira. Kita perlukannya untuk tujuan Trump 

Menjelang lawatan ke Davos, Trump terus menekankan AS perlukan Greenland sebagai pos keselamatan Artik bagi mengawal Russia dan China. 

Beliau juga mengulangi ancaman perang perdagangan terhadap negara-negara Eropah yang menentang rancangan itu.

Dikuatkan oleh kejayaannya menyingkirkan bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan menguasai sumber minyak negara itu, Trump turut berbicara mengenai kemungkinan tindakan terhadap Cuba, Colombia, dan Iran.

Beliau malah dan tidak menolak penggunaan tentera untuk menguasai Greenland yang menempatkan pangkalan tentera AS.

Namun, pemimpin-pemimpin yang berkumpul di resort ski Switzerland menegaskan kesatuan mereka menentang sikap agresif Trump. 

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berikrar untuk berdiri menentang ‘pembuli’, sementara Kesatuan Eropah (EU) menjanjikan tindak balas yang ‘tegas dan bersepadu’.

Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen turut menegur tindakan Trump cuba merampas Greenland dan mengugut mengenakan tarif balas ke atas lapan negara Eropah berisiko menjunamkan hubungan AS-EU.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, yang cuba mengurangkan kebergantungan negaranya kepada Washington sejak cadangan Trump untuk menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 AS, menerima tepukan gemuruh di Davos dengan pendirian tegasnya.

“Kanada berdiri teguh bersama Greenland dan Denmark,” katanya.

Sumber yang mengetahui situasi itu memberitahu Reuters, dorongan Trump terhadap Greenland berkait dengan keinginannya untuk membina legasi dengan memperluas wilayah AS secara besar-besaran sejak 1959, tahun di mana Alaska dan Hawaii menjadi negeri ke-49 dan ke-50 AS di bawah Presiden Republik, Dwight Eisenhower.

Pemimpin NATO memberi amaran strategi Trump mengenai Greenland boleh menggugat pakatan itu. Trump juga mengaitkan Greenland dengan kemarahannya kerana tidak menerima Hadiah Nobel Keamanan.

Dalam satu pelanggaran protokol diplomatik, Trump mendedahkan mesej teks peribadi yang diterima daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang menggesa beliau menyertai sidang G7 di Paris selepas Davos. Trump menolak cadangan itu. 

 “Saya tidak faham apa yang anda lakukan di Greenland,” tulis dihantar Macron yang didedahkan Trump.

Pemimpin Denmark dan Greenland menawarkan pelbagai cara untuk meningkatkan kehadiran AS di pulau strategik itu, tetapi Trump tetap tidak berpuas hati. 

Beliau kemudian bertindak menyiarkan imej yang diubah suai di media sosial menunjukkan dirinya memacak bendera AS di Greenland, yang mempunyai penduduk seramai 57,000 orang.

Dari dalam pesawat Air Force One, Trump turut menyiarkan gambar yang diubah suai menunjukkan beliau bertemu pemimpin Eropah di Oval Office, dengan peta AS, Kanada dan Greenland ditutup dengan bendera Stars and Stripes.

UMUM PELAN PERUMAHAN

Trump, dalam ucapannya di Davos turut menekankan fokus kepada ekonomi AS di tengah krisis kos sara hidup yang boleh menjejaskan parti Republikan dalam pilihan raya separuh penggal 2026.

Tujuan asal lawatan Trump ke Davos adalah untuk mempromosikan kekuatan ekonomi AS. 

Beliau memberi ucapan utama pada Rabu, membincangkan kejayaan ekonomi domestik, walaupun tinjauan pendapat menunjukkan rakyat AS tidak puas hati dengan pengurusan ekonomi beliau.

Rumah Putih menyatakan Trump akan membincangkan isu kos perumahan meningkat, termasuk cadangan membolehkan rakyat menggunakan dana simpanan persaraan untuk pembayaran pendahuluan membeli rumah.

“Trump akan memperkenalkan inisiatif untuk menurunkan kos perumahan, mempromosikan agenda ekonomi yang menjadikan AS peneraju pertumbuhan ekonomi dunia dan menekankan AS serta Eropah perlu meninggalkan kemerosotan ekonomi dan polisi yang menyebabkannya,” kata seorang pegawai Rumah Putih.

Sepanjang lawatan, Trump dijadualkan mengadakan pertemuan berasingan dengan pemimpin Switzerland, Poland, dan Mesir.

Trump dijangka mengetuai majlis perasmian Lembaga Keamanan, sebuah badan yang ditubuhkan untuk pembangunan semula Gaza di tengah-tengah gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas.

Trump menimbulkan kebimbangan pemimpin dunia selepas menyatakan lembaga itu mungkin berperanan dalam menangani krisis global di luar Gaza, tugas yang secara tradisinya dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Trump berkata beliau menghormati PBB tetapi mendakwa pertubuhan itu tidak pernah mencapai potensinya.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN