Trump jemput Putin sertai Lembaga Keamanan Gaza

Trump jemput Putin sertai Lembaga Keamanan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin dijemput untuk menyertai Lembaga Keamanan Gaza cetusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang bertujuan menyelesaikan konflik global serta memantau tadbir urus dan pembinaan semula wilayah itu.

Jemputan yang didedahkan pada Isnin itu dikemukakan ketika perang Russia di Ukraine yang kini memasuki tahun keempat masih berterusan, manakala pelan perdamaian di sana kekal sukar dicapai.

Trump sebelum ini berjanji untuk menghentikan perang tersebut dalam tempoh 24 jam selepas memegang jawatan setahun lalu, namun rundingan damai dilaporkan kembali perlahan.

Rumah Putih dilaporkan telah menghubungi beberapa tokoh dunia untuk menganggotai badan tersebut yang dipengerusikan sendiri oleh Trump.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, mengesahkan jemputan tersebut kepada pihak media pada Isnin.

“Presiden Putin turut menerima jemputan untuk menyertai lembaga keamanan ini,” kata Peskov.

Menurut beliau, Russia kini sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai butiran terperinci tawaran tersebut daripada Washington, namun tidak menyatakan sama ada Putin cenderung untuk menyertainya.

Selain Putin, sekutunya yang juga Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, dilaporkan turut menerima jemputan daripada Trump.

Moscow selama ini cuba mengimbangi hubungan dengan semua pemain utama di Asia Barat termasuk Israel dan Palestin.

Bagaimanapun, sejak bermulanya perang di Gaza lebih dua tahun lalu serta pencerobohan Ukraine pada Februari 2022, Putin dilihat mula menjauhkan diri daripada Israel dan memperkukuh hubungan dengan seteru negara itu, seperti Iran.

Meskipun hubungan dengan Israel kini tegang, memandangkan negara itu mempunyai komuniti besar kelahiran Russia, Putin sebelum ini pernah memuji usaha Trump dalam menyelesaikan konflik.

Sejak konflik Gaza bermula, Kremlin berulang kali mengkritik tindakan ketenteraan Israel dan menggesa semua pihak agar bertenang dan menahan diri. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN