WASHINGTON: Foto terbaharu yang menunjukkan kesan lebam pada tangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan tanda tanya pada Khamis, namun beliau pantas menepis spekulasi mengenai tahap kesihatannya, mendakwa ia hanya kesan luka kerana terlanggar meja.
Trump, 79, kerap dilihat mempunyai kesan lebam pada tangan kanannya sejak kembali ke Rumah Putih tahun lalu, malah sering kali menutup kesan tersebut menggunakan pembalut luka atau solekan.
Pihak Rumah Putih sebelum ini menjelaskan kesan itu berpunca daripada kekerapan beliau berjabat tangan serta kesan pengambilan aspirin bagi kesihatan kardiovaskular yang boleh menyebabkan kulit lebih mudah lebam.
Bagaimanapun, beberapa keping foto yang dirakam pada Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Davos, Switzerland pada Khamis menunjukkan lebam gelap di lokasi yang sama namun kali ini dikesan pada tangan kiri Trump.
Imej tersebut dirakam ketika beliau menghadiri majlis perasmian inisiatif global Lembaga Keamanan dan tular dengan pantas di media sosial.
“Saya terlanggar meja. Saya sarankan, ambillah aspirin jika anda sayangkan jantung anda, tetapi jangan ambil jika anda tidak mahu mengalami sedikit lebam,” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One apabila ditanya mengenai lebam tersebut.
Terdahulu, pihak Rumah Putih mengurangkan kebimbangan orang ramai dengan memberikan penjelasan yang sama bagi kesan lebam tersebut.
Foto-foto daripada awal acara Lembaga Keamanan dan hari sebelumnya menunjukkan tiada sebarang kesan lebam pada tangan kirinya.
Spekulasi mengenai kecergasan Trump terus bertiup kencang memandangkan beliau merupakan individu tertua yang memegang jawatan Presiden AS.
Selain lebam di tangan, pemerhati turut membangkitkan isu bengkak pada kakinya serta beberapa insiden beliau dilihat seolah-olah terlelap dalam acara rasmi.
Musim panas lalu, pentadbiran beliau mendedahkan bengkak pada kaki Trump didiagnosis sebagai simptom ketidakcukupan vena kronik, keadaan biasa di mana injap vena yang tidak berfungsi menyebabkan darah terkumpul, sekali gus mengakibatkan bengkak, kekejangan dan perubahan pada kulit.
Satu lawatan mengejut ke hospital tahun lalu turut menambah kecurigaan mengenai kemungkinan terdapat rahsia berkaitan tahap kesihatannya.
Bagaimanapun, doktor peribadi Trump dalam laporan pengimejan MRI beberapa minggu kemudian menyatakan tahap kesihatan kardiovaskular beliau adalah sangat baik. -AFP










