GAZA: Sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin, termasuk tiga wartawan dan dua remaja lelaki berusia 13 tahun, maut dalam serangan udara tentera Israel di Gaza.
Insiden berdarah ini dilihat sebagai keganasan terbaharu yang menggugat perjanjian gencatan senjata yang baharu dimeterai tiga bulan lalu.
Pegawai kesihatan Palestin melaporkan serangan udara Israel menyasarkan sebuah kenderaan yang membawa tiga wartawan di kawasan Netzarim, tengah Gaza.
Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan untuk mendokumentasikan sebuah kem pelarian yang baru dibina.
Sindiket Wartawan Palestin dalam satu kenyataan menegaskan mangsa sedang melaksanakan misi kemanusiaan dan kewartawanan bagi merakam penderitaan orang awam.
Dalam insiden berasingan pada hari yang sama, dua remaja lelaki berusia 13 tahun turut terkorban. Salah seorang mangsa, Moatsem al-Sharafy, maut ditembak tentera Israel ketika sedang mengumpul kayu api di timur bandar Bani Suheila.
Video yang tular di media sosial memaparkan suasana hiba bapa mangsa yang menangis di sisi jenazah anaknya di hospital. Seorang lagi remaja bersama bapa dan seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas terkena bedilan dron Israel di pinggir kem pelarian Bureij.
Wartawan yang terkorban dikenal pasti sebagai Mohammed Salah Qashta, Abdul Raouf Shaat, dan Anas Ghneim.
Shaat merupakan penyumbang tetap kepada agensi berita Agence France-Presse (AFP) sebagai wartawan foto dan video.
Jurucakap Jawatankuasa Bantuan Mesir, Mohammed Mansour berkata, kenderaan wartawan tersebut sebenarnya berada dalam pengetahuan dan makluman pihak tentera Israel sebelum serangan berlaku.
Bagaimanapun, tentera Israel (IDF) mempertahankan tindakan tersebut dengan mendakwa serangan dilakukan selepas tentera mereka mengenal pasti beberapa suspek yang mengendalikan dron milik Hamas di tengah Gaza.
“Disebabkan ancaman yang dibawa oleh dron tersebut kepada pasukan tentera, IDF telah melakukan serangan tepat ke arah suspek,” kata kenyataan rasmi tersebut sambil menambah butiran insiden itu kini sedang diteliti.
Pertubuhan pemerhati media, Reporters Without Borders mendedahkan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 29 wartawan Palestin di Gaza antara Disember 2024 hingga Disember 2025.
Secara keseluruhan, dianggarkan hampir 220 wartawan terkorban sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023, menjadikan konflik ini antara yang paling berbahaya buat pengamal media dalam sejarah moden. -AGENSI










