WELLINGTON: Dua maut sementara beberapa individu, termasuk seorang kanak-kanak hilang selepas tanah runtuh melanda sebuah tapak perkhemahan ketika ribut yang menyebabkan kerosakan meluas di Pulau Utara.
Menteri Kecemasan, Mark Mitchell memberitahu RNZ, sebahagian kawasan pantai timur kelihatan seperti ‘zon perang’, dengan helikopter dikerahkan untuk menyelamatkan keluarga yang berlindung di atas bumbung akibat banjir.
Lima kawasan di Northland dan East Cape mengisytiharkan keadaan darurat tempatan berikutan hujan lebat yang mencatatkan rekod beberapa hari berturut-turut.
Tanah runtuh berlaku pada pagi Khamis di sebuah tapak perkhemahan di pusat pelancongan Mount Maunganui di pantai timur. Mitchell mengesahkan seorang gadis muda termasuk dalam senarai individu yang belum ditemui.
“Semua pihak sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari penyelesaian terbaik, tetapi tidak dinafikan situasi ini sangat sukar dan mencabar,” kata Mitchell.
Jurucakap bomba, William Pike berkata, mereka yang tiba di lokasi mendengar suara panggilan meminta pertolongan dari dalam runtuhan tanah.
Rakaman dari Gunung Maunganui menunjukkan van perkemahan terbalik dan pokok tumbang. Saksi memberitahu media tempatan mereka terdengar bunyi yang sangat kuat sebelum melihat sebahagian besar bukit runtuh menimpa tapak perkhemahan.
Banjir lumpur turut melanda Papamoa di selatan gunung tersebut, dengan gambar di media sosial menunjukkan rumah, ladang, dan pusat komuniti ditenggelami air serta jalan yang terputus akibat tanah runtuh.
Video tular memaparkan situasi cemas seorang lelaki berusia 94 tahun diselamatkan oleh komuniti di Coromandel, manakala seorang wanita diselamatkan menggunakan kayak ketika air deras setinggi leher mengelilingi rumahnya.-AGENSI










