ADAMUZ: Kerajaan Sepanyol mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari ekoran insiden pertembungan kereta api berkelajuan tinggi di selatan Sepanyol yang mengorbankan 40 nyawa.
Pihak kerajaan berikrar untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian.
Nahas yang berlaku lewat malam Ahad itu merupakan kemalangan kereta api paling ngeri di Sepanyol sejak 2013 di mana 80 orang terkorban selepas sebuah tren tergelincir di landasan selekoh di luar bandar Santiago de Compostela.
Tragedi terbaharu ini berlaku apabila sebuah kereta api kendalian syarikat Iryo yang dalam perjalanan dari Malaga ke Madrid tergelincir berhampiran Adamuz di Andalusia.
Kereta api tersebut kemudiannya masuk ke landasan bertentangan lalu merempuh sebuah lagi keretapi yang sedang datang dari arah hadapan, menyebabkan kedua-duanya tergelincir.
Ketua kerajaan wilayah Andalusia, Juan Manuel Moreno mengesahkan peningkatan angka korban daripada 39 kepada 40 orang dalam satu sidang akhbar.
“Kami memerlukan tempoh 24 hingga 48 jam lagi untuk mengetahui dengan pasti jumlah sebenar kematian akibat kemalangan ngeri ini,” tambahnya.
Jentera berat telah dikerahkan ke lokasi kejadian pada awal pagi Isnin untuk mengangkat gerabak yang mengalami kerosakan teruk bagi memudahkan pasukan penyelamat mengakses kawasan bencana.
Selain angka korban, lebih 150 orang dilaporkan cedera dengan 41 daripadanya masih dirawat di hospital di bandar berdekatan, Cordoba.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, ketika melawat lokasi kejadian di Adamuz mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.
“Ini adalah hari kesedihan bagi seluruh Sepanyol. Kami akan mencari jawapan, dan sebaik sahaja punca tragedi ini dikenal pasti, kami akan membentangkannya dengan ketelusan mutlak,” kata beliau kepada pemberita.
Menteri Pengangkutan, Oscar Puente, menyifatkan kemalangan itu sebagai sangat pelik kerana ia berlaku di laluan landasan lurus yang baru sahaja dinaik taraf, manakala kedua-dua keretapi dilaporkan bergerak mengikut had laju yang ditetapkan.
Syarikat operator Iryo menyatakan lokomotif terlibat adalah buatan tahun 2022 dan baru sahaja menjalani pemeriksaan tiga hari sebelum nahas.
Menurut syarikat itu, keretapi tersebut membawa sekitar 300 penumpang, manakala operator kedua, Renfe, memaklumkan keretapinya membawa 184 penumpang. -AFP










