WASHINGTON: Gelombang udara sejuk ekstrem dari Artik dijangka membadai sebahagian besar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa hari akan datang, dengan beberapa kawasan diramal menerima taburan salji melebihi 30.4 sentimeter (sm) sebelum hujung minggu berakhir.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) menjangkakan udara sejuk yang mengancam nyawa akan bergerak perlahan dari kawasan High Plains dan Rockies menuju ke arah timur bermula Jumaat.
Fenomena ini dijangka membawa salji dan ais kepada kira-kira 160 juta penduduk di 30 buah negeri.
Pakar meteorologi memberi amaran suhu boleh menjunam jauh di bawah paras beku di beberapa kawasan terjejas.
Pihak berkuasa pengangkutan AS, termasuk pengurusan lapangan terbang di beberapa bandar utama mengeluarkan amaran kepada pengembara agar bersiap sedia menghadapi kelewatan jadual penerbangan yang ketara susulan sistem cuaca buruk ini.
Sistem cuaca tersebut dijangka bermula di Texas dan New Mexico sebelum bergerak ke timur, menyelubungi bandar-bandar besar termasuk Memphis, Nashville, Washington DC, Baltimore, Philadelphia, dan New York dengan salji tebal.
Menurut NWS, faktor angin sejuk boleh menyebabkan suhu dirasai menjunam di bawah -46°C di kawasan Northern Plains, manakala kawasan tenggara AS turut akan mengalami suhu di bawah paras sifar.
“Suhu sejuk ekstrem ini membawa risiko hipotermia dan frostbite yang mengancam nyawa pada kulit yang terdedah,” jelas amaran NWS.
Walaupun jumlah tepat taburan salji di kawasan bandar masih terlalu awal untuk diramal, pakar cuaca menjangkakan beberapa lokasi akan menerima salji setebal lebih satu kaki.
Antara negeri yang diramal terjejas termasuk Colorado, West Virginia, New York, Kansas, Oklahoma, Arkansas, Missouri, Kentucky, dan Indiana.
Negeri-negeri di bahagian selatan pula berisiko mengalami hujan beku yang boleh menyebabkan pokok-pokok disaluti ais.
Berat bebanan ais tersebut dikhuatiri akan menumbangkan pokok dan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik. Selain itu, banjir kilat juga mungkin berlaku di kawasan rendah akibat ribut petir.
Susulan amaran ini, beberapa syarikat penerbangan menawarkan pilihan kepada penumpang untuk menukar jadual penerbangan mereka, malah ada yang tanpa dikenakan bayaran tambahan, bagi mengelakkan implikasi daripada pembatalan penerbangan yang dijangka berlaku.-AGENSI










