Ribut burukkan penderitaan pelarian Gaza

Ribut burukkan penderitaan pelarian Gaza

SEORANG lelaki Palestin membaiki khemahnya yang rosak dipukul angin kencang di kawasan tepi pantai di Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Ratusan ribu penduduk Palestin yang kini berlindung di kem-kem pelarian sementara dilaporkan bakal berdepan penderitaan lebih perit susulan ramalan ribut baharu yang dijangka membadai Gaza dalam masa terdekat.

Keadaan kem yang sedia ada daif dan tidak mampu menahan cuaca musim sejuk yang ekstrem itu kini menjadi ancaman besar kepada nyawa pelarian. 

Pejabat Media Kerajaan Gaza melaporkan minggu lalu sebanyak 127,000 daripada 135,000 khemah di kem pelarian rosak dan tidak lagi boleh didiami akibat cuaca buruk sebelum ini.

Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum melaporkan, pihak Israel masih menghalang kemasukan unit rumah pasang siap dan bahan binaan yang penting untuk perlindungan musim sejuk, selain menyekat aliran bantuan kemanusiaan.

Di bawah perjanjian gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) bermula 10 Oktober lalu yang dicabuli ratusan kali oleh Israel, penghantaran bantuan sepatutnya ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 600 trak sehari namun hanya purata 145 trak yang dibenarkan masuk.

“Ratusan ribu keluarga pelarian masih tinggal di dalam khemah yang koyak dan rumah tanpa bumbung, terdedah kepada hujan serta malam yang membeku.

“Tanpa bahan api dan alat pemanas, penduduk Palestin terpaksa mengambil langkah terdesak dengan mengukuhkan khemah menggunakan plastik, memakai pakaian berlapis-lapis, serta membakar sisa sampah di dalam khemah untuk memanaskan badan,” kata Tareq.

Kesan musim sejuk kali ini dilaporkan amat tragis apabila seramai 24 orang dilaporkan maut akibat pendedahan kepada cuaca sejuk melampau, dengan 21 daripadanya adalah kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya 25 orang terkorban sejak pertengahan Disember akibat bangunan rosak yang runtuh berpunca daripada faktor cuaca dan kesan pengeboman lalu.

Pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya berkata, virus yang menular di wilayah itu sejak awal musim sejuk turut menyebabkan kematian harian, bukan sahaja dalam kalangan warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik, tetapi juga wanita hamil dan kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN