GAZA: Ratusan penduduk dalam suasana pilu dan keletihan, termasuk rakan-rakan setugas, membanjiri perkarangan Hospital Nasser di Khan Younis bagi memberi penghormatan terakhir kepada tiga pengamal media yang terkorban dalam serangan Israel.
Ketiga-tiga mangsa, termasuk seorang penyumbang tetap agensi berita AFP, terbunuh dalam serangan udara Israel pada Rabu. Pihak tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan ‘suspek’ yang mengendalikan dron.
Suasana hiba menyelubungi perkarangan hospital apabila jenazah dibawa keluar dari bilik mayat menuju ke dataran hospital. Barisan jemaah lelaki kemudiannya memenuhi ruang bagi menunaikan solat jenazah.
“Hari ini kita menyaksikan satu hukuman mati yang sistematik oleh pasukan pendudukan Israel terhadap rakan-rakan setugas kami,” ujar wartawan veteran, Ibrahim Qannan yang hadir di majlis tersebut.
Di atas salah satu pengusung, sehelai jaket kalis peluru dengan tulisan Press dan dua kuntum bunga diletakkan di atas jenazah Abdul Raouf Shaath, penyumbang tetap AFP.
“Abed sangat mencintai bidang kewartawanan dan memandangnya tinggi kerana ia mendokumentasikan kebenaran,” kata bapanya, Samir Shaath yang menggunakan nama panggilan anaknya itu.
Menurut kumpulan pemerhati media, Reporters Without Borders (RSF), sejak perang di Gaza tercetus pada Oktober 2023, hampir 220 wartawan terbunuh oleh serangan Israel.
Statistik ini menjadikan wilayah Palestin sebagai tempat paling maut bagi pengamal media di dunia.
RSF melaporkan sekurang-kurangnya 71 daripada mereka disasarkan atau dibunuh ketika sedang menjalankan tugas.
Meskipun tentera Israel menegaskan mereka tidak pernah sengaja menyerang wartawan, mereka mengakui telah membunuh beberapa pengamal media yang dituduh sebagai anggota ‘pengganas’ dalam sayap bersenjata Hamas atau kumpulan Palestin yang lain.
Berdasarkan Perkara 79 Protokol Tambahan Konvensyen Geneva, wartawan di zon perang mesti dilayan sebagai orang awam dan dilindungi selagi mereka tidak terlibat dalam pertempuran. Bagaimanapun, Israel bukan salah seorang penandatangan kepada protokol tersebut.
Tiga wartawan yang terkorban dalam serangan pada Rabu itu dikenal pasti sebagai Abdul Raouf Shaath, Mohammed Salah Qashta, dan Anas Ghneim.
Pihak tentera Israel pada Khamis memberitahu AFP mereka sedang meneliti keadaan di sebalik serangan maut tersebut dan tiada maklumat tambahan buat masa ini.
Selepas upacara pengebumian selesai, ibu Shaath, Nur al-Huda, dilihat memeluk erat jaket kalis peluru milik anaknya di khemah pelarian Al-Mawasi.
Di kelilingi oleh wanita lain yang meratap, beliau hanya mampu mengetap bibir bagi menahan tangis mengenang kehilangan permata hatinya itu. -AFP










