Prabowo calonkan anak saudara sebagai Timbalan Gabenor Bank Pusat

Prabowo calonkan anak saudara sebagai Timbalan Gabenor Bank Pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mencalonkan anak saudaranya untuk menyertai lembaga gabenor bank pusat negara itu, mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan bank pusat itu dalam mengejar sasaran ekonomi kerajaan.

Para pelabur bimbang pembuatan dasar monetari yang bebas di ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mungkin terjejas, memandangkan Prabowo menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus menjelang 2029, berbanding sekitar lima peratus pada masa ini.

Mata wang rupiah mencecah paras terendah dalam tempoh sembilan bulan pada Isnin, kesan daripada ketidaktentuan dasar tarif baharu Amerika Syarikat (AS), kebimbangan terhadap defisit fiskal Indonesia yang semakin melebar, serta berita mengenai pencalonan bank pusat tersebut.

Jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi memaklumkan kepada pemberita, anak saudara Prabowo, Thomas Djiwandono yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan, merupakan salah seorang daripada tiga calon yang namanya dikemukakan kepada Parlimen.

Pencalonan itu dibuat susulan peletakan jawatan Timbalan Gabenor Bank Indonesia (BI), Juda Agung, sebelum tamat tempoh perkhidmatannya pada 2027.

Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa menjelaskan, Juda Agung akan menyertai Kementerian Kewangan. Beliau menyifatkan pertukaran pegawai kanan ini sebagai langkah strategik yang tidak akan menjejaskan kebebasan mana-mana institusi.

“Mungkin ada spekulasi pelantikan Thomas akan melenyapkan kebebasan bank pusat. Saya tidak bersetuju.

“Apabila mereka (pelabur) menyedari perkara itu tidak berlaku, nilai rupiah akan kembali mengukuh,” katanya sambil menyatakan kementeriannya dan BI akan menyelaraskan dasar fiskal serta monetari untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas.

BI dalam satu kenyataan mengesahkan Timbalan Gabenor Agung sudah menghantar surat peletakan jawatan pada 13 Januari.

Bank pusat itu menegaskan akan terus fokus untuk mengekalkan kestabilan rupiah dan sistem kewangan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Thomas yang mendapat pendidikan di AS, merupakan bekas ahli perniagaan dan ahli parti pemerintah.

Dua lagi calon yang dinamakan ialah pegawai kanan bank pusat, Solikin Juhro dan Dicky Kartikoyono, menurut Ketua Komisen Kewangan Parlimen, Mukhamad Misbakhun.

“Tommy mempunyai kecekapan akademik, pengalaman birokrasi, dan secara peribadi beliau seorang yang rendah diri. Beliau adalah tokoh yang layak untuk jawatan Timbalan Gabenor Bank Indonesia,” ujar Misbakhun.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN