Polis Thailand 'menjelma' jadi puteri Disney 

Polis Thailand ‘menjelma’ jadi puteri Disney 

FOTO pegawai polis Thailand kelihatan seperti Puteri Disney dengan bantuan generatif AI ketika menahan seorang suspek jenayah.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUPHAN BURI: Pihak polis di Thailand mencuri tumpuan apabila menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengubah imej mereka menjadi watak filem selepas berjaya menangkap pesalah undang-undang.

Pegawai polis dari Samchuk di Suphan Buri, tengah Thailand mula menarik perhatian ramai pada 15 Januari lalu apabila mengumumkan di Facebook sekumpulan ‘puteri Disney’ berjaya menahan suspek bagi satu jenayah yang tidak diperincikan.

Sehari kemudian, pihak polis sekali lagi memuat naik hantaran yang memaparkan watak lanun Straw Hat daripada manga popular Jepun, One Piece, kononnya menghentikan pencarian harta karun mereka seketika demi memberkas seorang suspek kes kecurian yang turut positif dadah serta memandu di bawah pengaruh alkohol.

Imej janaan AI yang memaparkan pegawai polis berpakaian gaun ikonik seperti Snow White dan Cinderella itu mengundang tawa warganet Thailand.

Ramai yang memuji ‘kecantikan’ mereka, manakala segelintir lagi berseloroh mengenai susuk tubuh puteri-puteri tersebut yang kelihatan terlalu sasa.

Ketua Balai Polis Samchuk, Kietchai Koetcho, dipetik media tempatan Khaosod berkata, pasukan penyiasat balai tersebut mendapat idea menggunakan kostum digital bagi menjadikan laporan tangkapan rutin lebih menarik untuk diikuti orang awam.

Laporan Bangkok Post menjelaskan pakaian kartun tersebut hanya ditambah secara digital selepas tangkapan dilakukan, manakala semua pegawai terlibat tetap memakai pakaian seragam lengkap semasa operasi sebenar dijalankan.

Matlamat untuk meningkatkan interaksi media sosial ternyata berjaya apabila hantaran tersebut tular secara meluas. Imej polis sebagai watak One Piece termasuk Luffy, Zoro dan Sanji yang berdiri di belakang seorang suspek  dikongsi lebih 18,000 kali dan dipetik oleh pelbagai agensi berita tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN