TEBING BARAT: Ketika Amerika Syarikat (AS) menumpukan usaha untuk ‘melindungi’ pencerobohan Israel ke atas Gaza melalui drama gencatan senjata, satu lagi perang rampasan tanah yang semakin galak dilancarkan rejim Zionis di Tebing Barat terus sepi daripada perhatian dunia.
Sejak dua tahun lalu, Israel menggunakan bahasa ketenteraan seperti Operasi Iron Wall, Summer Camps, Five Stones, hinggalah operasi anti-keganasan terbaharu di al-Khalil untuk menyembunyikan niat sebenar meluaskan lagi cengkaman terhadap tanah milik penduduk Palestin.
Menurut wartawan Palestin-Amerika, Mariam Barghouti, peningkatan keganasan ketenteraan bersama serangan militia peneroka, kemusnahan infrastruktur, perobohan rumah serta pertambahan sekatan jalan dan pusat pemeriksaan bertujuan mewujudkan realiti di lapangan yang menjadikan kehidupan rakyat Palestin di tanah mereka semakin mustahil, sama seperti di Gaza.
Tahun ini, ia dijangka meneruskan peluasan penempatan berhampiran Baitulmaqdis, Lembah Jordan dan sekitar Ramallah.
Pelan ini akan memutuskan Baitulmuqaddis Timur dari Tebing Barat serta memisahkan utara dan selatan. Peneroka Israel kini mengibarkan bendera Israel di jalan dan rumah Palestin sebagai simbol penaklukan.
ZON PERANG TEBING BARAT
Pada 2025, serangan ketenteraan Israel di Tebing Barat mencetuskan kempen pemindahan paksa terbesar rakyat Palestin sejak 1967, dengan hampir 50,000 orang diusir secara paksa dari kediaman mereka.
Tentera Israel memusnahkan kem pelarian di Jenin dan Tulkarem serta menafikan hak penduduknya untuk kembali. Kedua-dua kem itu kini secara efektif dijadikan markas ketenteraan Israel di utara Tebing Barat.
Selain itu, infrastruktur utama termasuk jalan raya, sistem sanitasi dan grid elektrik turut dimusnahkan hampir sepenuhnya.
Sekurang-kurangnya 70 peratus jalan di bandar Jenin diratakan, manakala sebahagian besar saluran air dan pembetungan di Jenin serta Tulkarem dimusnahkan dalam tempoh beberapa minggu, mengakibatkan kerugian ekonomi bernilai jutaan dolar.
Beribu-ribu isi rumah terputus bekalan air dan elektrik di seluruh daerah. Hingga kini, keluarga yang dipindahkan terpaksa tinggal di kawasan sukar diakses dengan infrastruktur awam yang amat terhad.
Pada masa yang sama, tentera Israel memperluaskan kawasan keganasannya. Serbuan kini dilakukan secara berkala di bandar-bandar tengah Tebing Barat seperti Ramallah dan Ariha serta di selatan termasuk al-Khalil dan Bethlehem.
Dalam serangan ini, rakyat Palestin dikepung, diancam dan dalam beberapa kes, dibunuh oleh tentera Israel yang bertindak tanpa dipertanggungjawabkan.
Minggu ini, tentera Israel melancarkan operasi berskala besar di al-Khalil atas alasan menegakkan undang-undang dan ketenteraman.
Seluruh bandar diletakkan di bawah perintah berkurung, dengan kereta kebal Israel meronda jalan-jalan, manakala lelaki dan kanak-kanak lelaki ditahan, disoal siasat di lapangan dan ditahan dalam keadaan kejam.
Namun keganasan Israel tidak terhad kepada operasi ketenteraan sahaja. Ke mana tentera pergi, peneroka akan menyusul.
Dalam semangat penjajahan penempatan, tentera bertindak sebagai perintis yang membuka jalan kepada serangan militia peneroka Israel terhadap rakyat dan harta Palestin, serta rampasan tanah.
Dalam dua tahun kebelakangan ini, peneroka Israel yang tinggal secara haram di Tebing Barat pula dilengkapi dengan senjata gred tentera, daripada raifal M16 buatan Amerika Syarikat (AS) hingga pistol dan dron yang bebas digunakan tanpa sekatan.
Jelas pperasi membanterasan pemberontakan Israel bukan bertujuan mencapai kemenangan ketenteraan, sebaliknya satu usaha terancang bersama peneroka untuk membentuk semula persekitarandan sosial Tebing Barat agar tiada ruang untuk penentangan.
CETUSKAN KETAKUTAN
Pada Januari lalu, peneroka Israel memasang papan iklan di jalan utama Tebing Barat dengan tulisan besar ‘Tiada masa depan di Palestin’. Bagi rakyat Palestin, mesej itu jelas satu pengisytiharan perang.
Setiap minggu secara purata, sembilan rakyat Palestin terbunuh, 88 cedera, 180 ditahan, belasan lagi diseksa dalam soal siasat di lapangan.
Pada masa sama, berlaku sekitar 100 serangan peneroka Israel, 300 serbuan ketenteraan dan 10 perobohan rumah serta harta Palestin. Ini hanyalah statistik bagi satu minggu.
Angka ini bukan sekadar mencerminkan peningkatan keganasan, tetapi juga kekerapan yang disengajakan. Matlamatnya adalah untuk menghakis sebarang rasa normal dalam kehidupan rakyat Palestin.
Ribuan serbuan setahun, peluasan penempatan, pembinaan jalan pintasan, ratusan pusat pemeriksaan dan pengawasan sistematik menjadikan keganasan satu rutin, bukan pengecualian.
Keganasan penjajahan penempatan mengawal kehidupan rakyat Palestin menentukan bila mereka tidur, di mana kanak-kanak bermain, bila boleh ke sekolah, sama ada perniagaan boleh dibuka dan bagaimana masa depan dibayangkan.
Ia memaksa penyesuaian berterusan, melemahkan dan meletihkan penduduk yang berusaha mempertahankan tanah dan rumah mereka.
Di seluruh Tebing Barat, kehidupan harian Palestin disusun berdasarkan gangguan ganas. Israel bukan sahaja melakar semula peta melalui pengilhakan de facto, tetapi menggunakan ketakutan sebagai infrastruktur untuk menentukan di mana rakyat Palestin selamat untuk wujud.
Mariammelaporkan, setiap perjalanan di jalan raya disertai kebimbangan yang melumpuhkan.
“Laluan jarang diambil dua kali. Hari ini sebuah kampung ditutup, esok sebuah bandar. Perjalanan sejam menjadi tiga atau empat jam.
“Laluan terpaksa diubah melalui pergunungan, berulang kali, apabila pintu besi dan pusat pemeriksaan muncul di setiap pintu masuk dan keluar kampung serta bandar Palestin.
“Kehidupan di Tebing Barat diukur melalui lencongan. Ia bukan sahaja mencerminkan rampasan wilayah dan sumber yang dipercepatkan, tetapi turut mencuri masa dan melemahkan keupayaan sosioekonomi,” katanya.










