WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mengerahkan ratusan lagi pegawai persekutuan ke Minneapolis, Minnesota beberapa hari selepas kematian seorang wanita yang ditembak oleh ejen Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam Amerika Syarikat (ICE) di bandar itu.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem memberitahu Fox News, ratusan lagi pegawai akan dihantar ke kawasan tersebut bagi membolehkan ejen ICE dan anggota pengawal sempadan di Minneapolis menjalankan tugas mereka dengan selamat.
Protes menentang penguatkuasaan imigresen diadakan di bandar-bandar di seluruh AS selepas wanita berusia 37 tahun, Renee Nicole Good, ditembak ketika berada di dalam keretanya pada Rabu.
Pentadbiran Trump menyatakan ejen terbabit bertindak bagi mempertahankan diri. Namun, pegawai tempatan menegaskan, wanita itu tidak menimbulkan sebarang ancaman.
Noem berkata, pegawai itu akan tiba hari ini dan esok, serta memberi amaran tindakan akan diambil sekiranya ada pihak cuba menghalang tugas mereka.
“Jika mereka melakukan aktiviti ganas terhadap penguat kuasa undang-undang, menghalang operasi kami, itu adalah satu jenayah dan kami akan memastikan mereka bertanggungjawab atas perbuatan tersebut,” katanya.
Penunjuk perasaan berhimpun di Minneapolis pada Sabtu, dengan protes anti-ICE turut berlangsung di bandar lain di seluruh AS, termasuk Austin, Seattle, New York dan Los Angeles.
Polis Minneapolis menganggarkan puluhan ribu orang menghadiri perhimpunan dan perarakan bagi mendesak ICE keluar dari Minnesota yang bermula di Powderhorn Park pada Sabtu.
Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey berkata, protes tersebut berlangsung secara aman.
Polis memaklumkan seramai 31 orang ditahan selepas protes pada Jumaat dan Sabtu.
Minnesota sebelum ini telah menyaksikan peningkatan kehadiran pegawai penguat kuasa undang-undang persekutuan ketika pentadbiran Trump memperhebatkan penguatkuasaan imigresen di negeri itu. -BBC









