TRIPOLI: Seorang penjual telefon bimbit di Libya terkejut menerima penghantaran stok puluhan telefon jenama Nokia baru-baru ini walaupun membuat pesanan berkenaan hampir 16 tahun lalu.
Libya dilanda perang saudara selama lebih 15 tahun, melumpuhkan sistem logistik dan perkhidmatan kastam negara tersebut dan menyebabkan banyak perkhidmatan asas tertangguh.
Menurut peniaga berpangkalan di Tripoli itu, stok telefon bimbit berkenaan dipesan pada 2010, sebelum konflik bermula.
Dalam satu klip video yang tular di media sosial, peniaga yang tidak dinamakan itu kelihatan membuka bungkusan telefon lama tersebut daripada beg plastik merah sambil berseloroh bertanya sama ada peranti tersebut telefon atau artifak sejarah.
Pesanannya merangkumi model-model mewah sekitar akhir 2000-an, termasuk peranti jenis, lipat, Communicator dan telefon gelongsor bergaya, yang kini sudah lapuk mengikut piawaian semasa.
Seperti banyak bungkusan lain, telefon-telefon itu dipercayai tersimpan berhabuk di sebuah gudang sebelum ditemui semula dan akhirnya dihantar kepada penerima asalnya.
Ironinya, kedua-dua penjual dan penerima penghantaran tersebut berada di Tripoli, hanya beberapa kilometer antara satu sama lain, namun pesanan itu mengambil masa 16 tahun untuk diselesaikan.
Kisah berkenaan tular di media sosial, dengan ramai pengguna meluahkan rasa sedih bagaimana konflik boleh mengganggu kehidupan harian dan operasi perniagaan secara serius.-AGENSI









