Mexico serah 37 lagi suspek ahli kartel dadah kepada AS

Mexico serah 37 lagi suspek ahli kartel dadah kepada AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Mexico mengumumkan sudah menyerahkan 37 suspek ahli kumpulan jenayah terancang kepada Amerika Syarikat (AS), selepas Presiden, Donald Trump mengancam untuk melancarkan serangan darat terhadap kartel dadah di negara itu.

Menurut kenyataan kerajaan, ini merupakan siri penyerahan ketiga dalam tempoh kira-kira setahun, menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang diekstradisi sebanyak 92 orang.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan kewarganegaraan suspek terbabit.

Pengumuman itu dibuat selang seminggu selepas Presiden, Claudia Sheinbaum mengadakan perbincangan keselamatan bersama Trump, di mana beliau menegaskan penempatan tentera AS di Mexico tidak akan dipertimbangkan.

Trump sebelum ini menyatakan serangan darat terhadap kartel akan menyusul selepas operasi maritim AS di Pasifik dan Caribbean baru-baru ini, tanpa memperincikan lokasi atau masa serangan tersebut.

Meskipun Sheinbaum mempertingkatkan proses ekstradisi pemimpin kartel dan memperkukuh kerjasama sempadan, beliau berulang kali menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk campur tangan tentera asing.

Beliau turut membangkitkan kejayaan polisinya dengan merujuk kepada penurunan 50 peratus rampasan fentanyl di sempadan selatan AS, pengurangan 40 peratus kes pembunuhan di Mexico, serta rampasan beratus-ratus tan dadah sebagai bukti keberkesanan tindakan domestik.

Sejak penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dari Caracas, Trump juga mengeluarkan ancaman terhadap kerajaan berhaluan kiri lain di rantau itu, termasuk Cuba, Colombia, dan Mexico.

Setiausaha Keselamatan Awam Mexico, Omar Garcia Harfuch, menerusi hantaran di laman X pada Selasa memaklumkan, kumpulan terbaharu yang diekstradisi itu tidak akan berhadapan hukuman mati di AS, mengikut perjanjian yang telah dipersetujui dengan Washington.

Tambah beliau, kesemua suspek telah diterbangkan ke Washington, New York, Pennsylvania, San Antonio, dan Diego menggunakan tujuh pesawat tentera.

Antara yang diserahkan termasuklah Pedro Inzunza Noriega, yang dikehendaki oleh AS atas pertuduhan pengedaran dadah.

Pada Februari 2025, Mexico telah menyerahkan kumpulan terdahulu seramai 29 suspek pengedar dadah, termasuk Rafael Caro Quintero yang disyaki terlibat dalam pembunuhan ejen DEA, Enrique “Kiki” Camarena pada tahun 1985. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN