MANILA: Kumpulan masyarakat sivil Filipina pada Khamis memfailkan aduan pemecatan terhadap Presiden, Ferdinand Marcos Jr. atas dakwaan terlibat dalam skim penipuan sistematik dana pembayar cukai bernilai berbilion dolar melalui projek tebatan banjir palsu.
Kemarahan rakyat terhadap projek infrastruktur ‘hantu’ itu memuncak sejak beberapa bulan lalu di negara kepulauan yang dihuni 116 juta penduduk itu, selepas banyak bandar ditenggelami banjir besar akibat taufan kuat sepanjang tahun lalu.
Aduan tersebut yang disokong oleh blok Makabayan, iaitu gabungan parti politik sayap kiri, menuduh Marcos mengkhianati kepercayaan awam dengan menyalurkan dana bajet nasional kepada sekutu-sekutu politiknya melalui projek tersebut.
Dokumen aduan itu difailkan di Pejabat Setiausaha Agung Dewan Perwakilan mengikut peraturan dewan, meskipun pegawai terbabit dilaporkan tidak hadir secara fizikal untuk menerimanya sendiri semasa proses penyerahan dilakukan.
Ringkasan dokumen yang dilihat AFP mendakwa Presiden mewujudkan mekanisme untuk menyedut lebih 545.6 bilion peso (RM37.25 bilion) dana tebatan banjir bagi kegunaan kroni dan kontraktor pilihan sebagai ‘tabung perang’ menjelang pilihan raya pertengahan penggal 2025.
Selain penyelewengan dana, Marcos turut dituduh meminta rasuah secara langsung, satu dakwaan yang bersandar kepada kenyataan bekas ahli kongres yang melarikan diri ke luar negara ketika sedang berada di bawah siasatan pihak berkuasa.
“Penglibatan Presiden dalam skim rasuah besar ini menjadikan proses pemecatan perlu bagi menuntut akauntabiliti beliau. Rakyat telah dirompak berkali-kali secara sistematik,” menurut petikan ringkasan aduan berkenaan.
Sebelum ini, Marcos sering menegaskan beliau adalah individu yang membongkar isu projek hantu tersebut dan mendakwa siasatan yang dimulakannya mengheret ramai pemilik firma pembinaan serta pegawai kerajaan ke muka pengadilan.
Aduan ini merupakan kes kedua difailkan terhadap Marcos Jr. minggu ini, selepas seorang peguam tempatan membawa kes berkaitan penahanan bekas presiden, Rodrigo Duterte serta dakwaan penyalahgunaan dadah yang belum dibuktikan.
Di bawah Perlembagaan Filipina, mana-mana warganegara boleh memfailkan aduan pemecatan dengan syarat ia mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya seorang ahli Kongres yang kini mempunyai lebih 300 ahli. -AFP










