Letupan restoran Cina di Kabul ragut tujuh nyawa

Letupan restoran makanan Cina di Kabul ragut tujuh nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan lebih 12 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah restoran makanan Cina di pusat bandar Kabul pada Isnin, menurut perkhidmatan kecemasan.

Seorang wartawan AFP melihat beberapa kenderaan polis dan sebuah ambulans di lokasi kejadian selepas letupan berlaku di sebuah jalan yang terkenal dengan penjual bunga di kawasan Shahr-e-Naw.

Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran berkata, letupan itu berlaku di restoran Chinese Noodle, yang menurutnya kebanyakannya dikunjungi pelanggan Muslim dari China.

“Seorang warga China beragama Islam bernama Ayub dan enam warga Afghanistan terbunuh, manakala beberapa yang lain cedera. Letupan berlaku berhampiran dapur,” katanya dalam satu kenyataan.

Zadran turut memaklumkan punca kejadian masih dalam siasatan, selepas sebelum ini menyatakan letupan berkenaan melibatkan sebuah hotel.

Kumpulan bersenjata IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh SITE Intelligence Group, sambil menyatakan ia merupakan serangan bunuh diri yang menyasarkan warga China.

“IS di Afghanistan meletakkan warga China dalam senarai sasaran mereka, khususnya susulan peningkatan jenayah yang dilakukan kerajaan China terhadap umat Islam Uyghur yang tertindas,” menurut kenyataan IS itu.

Pertubuhan bukan kerajaan Itali, EMERGENCY memaklumkan, hospital mereka yang terletak berhampiran restoran berkenaan menerima tujuh mangsa yang disahkan meninggal dunia sebaik tiba, manakala 13 lagi dimasukkan ke jabatan pembedahan.

“Antara yang cedera ialah empat wanita dan seorang kanak-kanak,” kata Pengarah Negara NGO tersebut, Dejan Panic dalam satu kenyataan.

Pemilik sebuah kedai bunga di kawasan berkenaan, yang enggan dikenali atas faktor keselamatan, berkata, letupan berlaku sekitar jam 3.30 petang (waktu tempatan) di hujung jalan bertentangan dengan premisnya.

Dia memberitahu AFP mendengar bunyi letupan yang kuat di kawasan yang ketika itu sesak dengan orang ramai.

“Ia satu situasi kecemasan. Semua orang bimbang akan keselamatan diri masing-masing.

“Saya dapat melihat sekurang-kurangnya lima orang yang cedera,” katanya.

Beberapa jam selepas kejadian, jalan tersebut dibuka semula kepada lalu lintas, dengan kenderaan terus melalui hadapan pintu masuk restoran yang ditutup. Tingkap bangunan bertentangan juga dilaporkan pecah, menurut jurugambar AFP.

Pegawai Taliban sebelum ini berikrar untuk memulihkan keselamatan negara dan sedang berusaha menarik pelabur asing bagi menjana sumber pendapatan penting ketika bantuan luar semakin berkurangan.

Pelawat perniagaan dari China semakin ramai mengunjungi Afghanistan sejak kerajaan Taliban kembali berkuasa pada 2021 buat kali kedua.

Pada tahun berikutnya, kumpulan militan IS turut mengaku bertanggungjawab terhadap satu serangan maut ke atas sebuah hotel di Kabul yang popular dalam kalangan tetamu dari China.

China, yang berkongsi sempadan sepanjang 76 kilometer dengan Afghanistan, mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Taliban.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN