Lebih 400 rakyat Indonesia dibebaskan sindiket penipuan Kemboja

Lebih 400 rakyat Indonesia dibebaskan sindiket penipuan Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Rangkaian sindiket penipuan siber di Kemboja membebaskan lebih 400 warga Indonesia sepanjang bulan Januari ini, menurut Jakarta pada Isnin, susulan pengumuman kerajaan Kemboja untuk mempergiat operasi membanteras industri haram berkenaan.

Sindiket penipuan yang beroperasi dari hab di seluruh Asia Tenggara melibatkan pekerja secara sukarela mahupun mangsa pemerdagangan manusia sering memperdaya pengguna internet di peringkat global melalui penipuan cinta atau love scam dan pelaburan mata wang kripto palsu.

Aktiviti ini dianggarkan mengaut keuntungan mencecah puluhan bilion dolar setiap tahun.

Beberapa warga asing dilaporkan mula meninggalkan premis yang disyaki menjadi pusat operasi penipuan di seluruh Kemboja bulan ini.

Ia berlaku selepas kerajaan negara itu berikrar untuk menghapuskan masalah berkaitan perdagangan penipuan dalam talian.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), industri itu menggaji sekurang-kurangnya 100,000 orang di Kemboja sahaja.

Duta Indonesia ke Kemboja, Santo Darmosumarto, menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang terbaharu oleh pihak berkuasa Kemboja menyebabkan banyak sindiket penipuan dalam talian melepaskan pekerja mereka.

Berdasarkan hantaran di Instagram, seramai 440 rakyat Indonesia hadir ke kedutaan di Phnom Penh antara 1 hingga 18 Januari lalu selepas mereka dibebaskan oleh sindiket penipuan dalam talian dengan kebanyakannya memohon untuk pulang ke tanah air.

“Memandangkan operasi besar-besaran di Kemboja akan diteruskan, pihak kedutaan menjangkakan lebih ramai lagi akan tampil dari kawasan-kawasan wilayah,” kata Santo.

Menurut beliau, warga Indonesia yang hadir ke kedutaan itu terlibat dalam kegiatan penipuan bagi tempoh antara beberapa bulan hingga beberapa tahun, malah ada dalam kalangan mereka yang pasportnya dirampas oleh sindiket.

Santo menjelaskan pihak kedutaan akan mempercepatkan proses penghantaran pulang, namun setakat ini semua warga Indonesia terlibat diarah pulang ke tanah air secara persendirian.

Pada Isnin, puluhan individu dilihat beratur di luar kedutaan Indonesia, sebahagian daripada mereka membawa beg pakaian.

Seorang remaja berusia 18 tahun dari Sumatera, Indonesia, mendedahkan dia melarikan diri dari sebuah premis di bandar Bavet, berhampiran sempadan Kemboja-Vietnam.

Dia mendakwa dipaksa melakukan penipuan dalam talian selama lapan bulan tanpa gaji, walaupun pada asalnya dijanjikan upah AS$600 (RM2,431) sebulan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN