Kes PTSD, bunuh diri tentera Israel meningkat

Kes PTSD, bunuh diri tentera Israel meningkat

TENTERA Israel mengambil posisi di dalam kenderaan perisai mereka berhampiran pagar sempadan antara Israel dan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel kini berdepan peningkatan mendadak kes gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan bunuh diri dalam kalangan anggota tenteranya, selepas serangan selama dua tahun ke atas Gaza.

Laporan terkini daripada Kementerian Pertahanan dan penyedia perkhidmatan kesihatan mendedahkan krisis kesihatan mental dalam kalangan tentera Israel semakin buruk terutamanya melibatkan anggota yang melaksanakan matlamat perang Israel, termasuk menumpaskan Hamas di Gaza, menyelamatkan tebusan di wilayah itu serta melucutkan senjata Hezbollah.

Ahli psikologi klinikal yang mengetuai penyelidikan veteran tempur di Pusat Perubatan Emek di utara Israel, Ronen Sidi berkata, anggota tentera secara umumnya berdepan dua sumber trauma berbeza iaitu ketakutan terhadap kematian semasa dikerahkan di Gaza dan Lubnan serta kecederaan moral akibat tindakan yang mereka lakukan.

“Banyak keputusan pantas yang dibuat oleh anggota tentera dalam sekelip mata adalah keputusan yang tepat namun ada juga yang tidak hingga wanita serta kanak-kanak cedera atau terbunuh secara tidak sengaja.

“Hidup dengan perasaan yang mereka membunuh orang yang tidak bersalah adalah satu perasaan yang amat sukar kerana mereka tidak boleh membetulkan semula apa yang telah dilakukan,” katanya kepada Reuters.

Kementerian Pertahanan Israel berkata, pihaknya merekodkan peningkatan hampir 40 peratus kes PTSD dalam kalangan tentera sejak September 2023 dan meramalkan angka itu akan meningkat sehingga 180 peratus menjelang 2028. 

Daripada 22,300 anggota tentera atau kakitangan yang sedang menerima rawatan akibat kecederaan perang, 60 peratus dilaporkan mengalami trauma pasca konflik, menurut kementerian itu.

Kementerian berkenaan memperluas perkhidmatan kesihatan bagi mereka yang mengalami masalah mental, menambah bajet serta melaporkan peningkatan kira-kira 50 peratus penggunaan rawatan alternatif.

Pembekal perkhidmatan kesihatan kedua terbesar negara itu, Maccabi dalam laporan tahunan 2025 menyatakan 39 peratus anggota tentera Israel yang dirawat mendapatkan sokongan kesihatan mental, manakala 26 peratus menyuarakan kebimbangan mengenai kemurungan.

Beberapa organisasi Israel termasuk NGO HaGal Sheli, yang menggunakan terapi luncur ombak, membantu ratusan anggota tentera dan simpanan yang mengalami PTSD. Sesetengah bekas tentera juga menerima terapi dengan anjing.

Satu jawatankuasa Parlimen Israel mendapati pada Oktober lalu, 279 anggota tentera cuba membunuh diri dalam tempoh Januari 2024 hingga Julai 2025, peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Laporan itu turut mendapati tentera tempur menyumbang 78 peratus daripada semua kes bunuh diri di Israel pada 2024. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN