Kemboja dakwa puluhan rumah penduduk di sempadan dimusnahkan

Kemboja dakwa puluhan rumah penduduk di sempadan dimusnahkan

RUMAH-rumah penduduk rosak teruk  susulan pertempuran antara tentera Kemboja dan Thailand di kampung Chouk Chey, wilayah Banteay Meanchey.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Pasukan tentera Thailand didakwa memusnahkan rumah-rumah penduduk Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan selepas gencatan senjata menamatkan pertempuran antara kedua-dua negara jiran itu, menurut satu kumpulan hak asasi tempatan.

Kumpulan hak asasi LICADHO berkata, sejumlah besar rumah dan struktur di kawasan yang dikawal Thailand di dua kampung wilayah Banteay Meanchey, Kemboja, dimusnahkan dan dibersihkan oleh pasukan tentera Thailand selepas gencatan senjata pada 27 Disember lalu.

“Pemusnahan rumah penduduk awam semasa konflik bertentangan dengan Konvensyen Geneva dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, tanpa mengira rumah-rumah itu berada di sisi sempadan yang mana.

“Rumah-rumah juga dimusnahkan di tanah yang diiktiraf kedua-dua pihak sebagai milik Thailand, serta tanah yang diiktiraf sebagai milik Kemboja.

“Pembersihan mereka selepas gencatan senjata tidak mempunyai tujuan ketenteraan yang sah,” kata LICADHO dalam satu kenyataan memetik imej satelit Sentinel-2 dari Agensi Angkasa Eropah serta gambar dan rakaman media.

Seorang penduduk, Tep Chheang, 43, yang tinggal di Chouk Chey memberitahu wartawan rumahnya dibakar semasa pertempuran pada Disember tahun lalu, malah akses ke kampung itu dihalang oleh dawai berduri serta kontena, menyebabkan dia  kini terpaksa berlindung di kem penempatan sementara.

“Kami kehilangan segalanya sekarang. Saya mempunyai empat orang anak dan saya tidak tahu di mana kami akan tinggal,” katanya.

Seorang ketua kampung, Pen Rithy berkata, kira-kira 880 keluarga dihalang daripada kembali ke rumah mereka di Chouk Chey.

“Kami dapat mendengar bunyi jentolak membersihkan kawasan itu dari belakang barisan kontena. Seolah-olah kami sedang dikuburkan hidup-hidup. Rumah, tanah dan harta benda kami hilang dan kami tidak tahu bila kami boleh kembali ke kampung,” katanya.

Awal bulan ini, Kementerian Luar Kemboja mengutuk pasukan tentera Thailand ekoran kemusnahan rumah dan infrastruktur awam di kawasan yang dirampas, menegaskan tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa.

Tentera Thailand menafikan menggunakan kekerasan untuk merampas wilayah Kemboja, menegaskan pasukannya berada di kawasan yang sentiasa menjadi milik Thailand.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN