GAZA: Hospital al-Awda di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza, bergelut untuk menyelamatkan nyawa bayi pramatang, selepas berdepan dengan kekurangan peralatan perubatan dan gangguan bekalan elektrik.
Wad neonatal yang baharu ditubuhkan pada awal tahun ini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, kini menerima kira-kira 17 bayi setiap hari.
Seorang kakitangan perubatan, Ahmed Abu Shaira berkata, mereka seolah-olah beroperasi dengan ‘satu tangan terikat’ ekoran kekurangan tersebut.
“Kami berdepan pelbagai dilema, termasuk kekurangan peralatan perubatan. Sesetengah inkubator dihantar kepada kami tanpa bateri. Pihak penjajah sengaja membenarkan kemasukan inkubator tanpa bateri,” katanya.
Semasa lawatan Al Jazeera, bekalan elektrik terputus lebih lima kali dalam masa kurang daripada satu jam.
“Kami cuba mengekalkan suhu tertentu untuk bayi, tetapi setiap kali berjaya, bekalan elektrik terputus,” katanya Ahmed.
Tanpa bateri dalaman yang diharamkan kemasukannya oleh Israel, inkubator menjadi sejuk sebaik sahaja penjana gagal berfungsi.
Krisis tersebut diburukkan lagi oleh kekurangan ubat untuk membantu perkembangan paru-paru bayi pramatang dan kekurangan bekalan susu formula.
“Kami menerima bayi yang lahir sebelum 37 minggu disebabkan kelahiran awal akibat keadaan kesihatan ibu. Bayi-bayi ini mudah mengalami hipotermia, yang boleh membawa kepada kematian,” katanya.
Kelmarin, bayi berusia dua bulan, Mohammed Abu Harbid, menjadi mangsa terbaharu kematian akibat kesejukan di Gaza.
Pengarah maklumat di Kementerian Kesihatan Gaza, Zaher al-Wahidi berkata, bayi berkenaan meninggal dunia akibat hipotermia teruk di Hospital Kanak-Kanak al-Rantisi.
Kematian bayi itu menjadikan jumlah kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kesejukan di Gaza sejak November 2025 meningkat kepada empat orang, dan 12 orang sejak permulaan perang Israel pada Oktober 2023.










