Kebakaran hutan Chile: polis tahan suspek utama, angka korban meningkat 21 orang

Kebakaran hutan Chile: polis tahan suspek utama, angka korban meningkat 21 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIRQUÉN: Pihak berkuasa Chile menahan seorang lelaki yang disyaki sengaja mencetuskan kebakaran hutan dahsyat yang mengorbankan 21 nyawa dan memusnahkan seluruh kawasan kejiranan di wilayah tengah-selatan negara itu.

Menteri Keselamatan, Luis Cordero mengesahkan suspek ditahan di bandar Perquenco, wilayah Araucania. Polis turut merampas lima liter bahan cecair pemacu pembakaran yang dipercayai digunakan untuk memulakan api di sebuah ladang gandum.

Kebakaran yang bermula serentak pada Sabtu lalu di wilayah Biobio dan Nuble itu marak dengan pantas akibat faktor angin kencang serta suhu tinggi.

Bandar pesisir pantai seperti Penco, Lirquen, dan Punta de Parra kini berubah menjadi padang jarak padang terkukur dengan runtuhan bangunan yang masih berasap.

Menteri Dalam Negeri, Alvaro Elizalde dalam satu sidang media mendedahkan kira-kira 20,000 penduduk mengalami kerugian harta benda, manakala sekurang-kurangnya 800 buah rumah musnah sepenuhnya dalam bencana tersebut.

Presiden, Gabriel Boric yang mengadakan lawatan ke Biobio menegaskan negara itu masih berada dalam keadaan darurat.

“Kami sedang menggunakan jentera berat untuk membersihkan jalan serta sisa runtuhan, dan pada masa sama usaha memadamkan kebakaran masih diteruskan secara agresif,” ujar beliau.

Pihak keselamatan turut menemui beberapa bekas plastik berisi bahan pemacu pembakaran di bandar Concepcion, sekali gus memperkukuh teori bahawa kebakaran tersebut mempunyai unsur sabotaj atau khianat.

Setakat petang ini, anggota bomba masih bergelut memadamkan 35 punca api di tiga wilayah terjejas.

Bagaimanapun, penurunan suhu sejak beberapa hari kebelakangan ini sedikit sebanyak membantu meredakan kebakaran.

Kerajaan Chile mengumumkan bantuan pampasan antara AS$700 hingga AS$1,500 (RM2,828 hingga RM6,060) akan diberikan kepada setiap mangsa yang terlibat.

Bantuan asas seperti tandas mudah alih dan generator elektrik juga mula dihantar ke kawasan terjejas seperti Lirquen, di mana ramai keluarga terpaksa berkemah di celah-celah runtuhan kediaman mereka sementara menunggu proses pemulihan.

Insiden ini membangkitkan memori hitam kebakaran hutan pada Februari 2024 di Vina del Mar yang meragut 138 nyawa, di mana siasatan kemudiannya mendapati api dicetuskan secara sengaja oleh individu dalam pasukan bomba dan briged perhutanan sendiri. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN