Jurutera IT lemas dalam lubang pembinaan selepas dua jam rayu bantuan

Jurutera IT lemas dalam lubang pembinaan selepas dua jam rayu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOIDA: Kematian tragis seorang profesional teknologi maklumat (IT) berusia 27 tahun selepas keretanya terjatuh ke dalam lubang pembinaan tanpa papan tanda amaran mencetuskan persoalan besar mengenai perancangan bandar dan keselamatan jalan raya di India.

Mangsa, Yuvraj Mehta sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Noida, pinggir ibu negara Delhi, sekitar tengah malam Jumaat lalu.

Dalam keadaan kabus musim sejuk yang tebal, kenderaan mangsa dilaporkan melanggar tembok rendah sebelum terjatuh ke dalam lubang dalam yang dipenuhi air.

Tapak tersebut dilaporkan digali beberapa tahun lalu sebelum kerja-kerja pembinaan terbengkalai.

Mehta, yang tidak tahu berenang, bertindak memanjat bumbung keretanya yang mula tenggelam dan menghubungi bapanya untuk meminta bantuan. Bapa mangsa yang bergegas ke lokasi kejadian segera memaklumkan pihak kecemasan.

Menurut bapanya, Mehta bertahan di atas bumbung kereta selama hampir dua jam sambil menyuluhkan lampu telefon bimbitnya dan menjerit meminta tolong. Bagaimanapun, suara rayuannya kemudian terhenti.

Media tempatan melaporkan mayat mangsa hanya berjaya dikeluarkan kira-kira lima jam selepas kemalangan berlaku.

Kematian Mehta menjadi tajuk utama berita nasional dan mencetuskan kemarahan penduduk setempat. Demonstrasi diadakan di tapak kemalangan dengan penunjuk perasaan menuduh pihak berkuasa cuai dan menuntut akauntabiliti.

Tragedi ini turut mengundang kritikan hebat di media sosial mengenai kualiti infrastruktur di bandar-bandar besar India.

“Kematian jurutera Noida ini pada dasarnya adalah satu pembunuhan. Impian hancur, kerja keras menjadi sia-sia, dan harapan seorang bapa terkubur. Semuanya disebabkan oleh sistem yang gagal,” tulis seorang pengguna di platform X.

Ada juga pengguna yang berkongsi pengalaman ngeri mereka berdepan jalan raya yang rosak, kekurangan papan tanda, dan sistem pencahayaan yang malap, selain masalah longkang terbuka yang menjadi ‘perangkap maut’.

Susulan laporan polis oleh keluarga mangsa, pihak polis Noida mendaftarkan dua kes terhadap pemaju hartanah di tapak pembinaan tersebut.

Pada Ahad, kerajaan negeri Uttar Pradesh bertindak memecat seorang pegawai kanan daripada pihak berkuasa perbandaran dan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan ke atas operasi menyelamat serta tahap keselamatan tapak.

Pihak polis juga menahan Abhay Kumar, salah seorang pemilik tapak pembinaan tersebut, atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat akibat kecuaian di bawah kod jenayah India.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN