TOKYO: Jepun telah menggantung operasi loji kuasa nuklear terbesar di dunia hanya beberapa jam selepas ia diaktifkan semula, menurut kenyataan pihak operator pada Khamis.
Jurucakap Tokyo Electric Power Company (Tepco), Takashi Kobayashi, memaklumkan penggera berbunyi semasa prosedur memulakan reaktor di Kashiwazaki-Kariwa yang terletak di barat laut Tokyo. Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan reaktor tersebut kekal stabil.
Reaktor nombor enam itu pada asalnya diaktifkan semula pada Rabu, lewat sehari daripada jadual asal berikutan kerosakan penggera.
Ia merupakan reaktor pertama di loji tersebut yang dihidupkan semula sejak bencana nuklear Fukushima pada 2011.
Jepun sebelum ini menutup kesemua 54 reaktor nuklearnya selepas gempa bumi bermagnitud 9.0 mencetuskan kerosakan teras di loji Fukushima 15 tahun lalu, sekali gus mengakibatkan salah satu bencana nuklear terburuk dalam sejarah.
Pada ketika itu, kebocoran radiasi daripada loji berkenaan memaksa lebih 150,000 penduduk berpindah. Sehingga kini, ramai yang masih enggan pulang ke kediaman masing-masing meskipun terdapat jaminan kawasan tersebut kini selamat.
Susulan penggantungan reaktor nombor enam pada Khamis, Kobayashi menyatakan keadaan adalah terkawal dan tiada kesan radioaktif dikesan di luar kawasan loji.
Reaktor itu sepatutnya mula beroperasi secara komersial pada bulan depan. Bagaimanapun, pihak Tepco sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian dan belum menetapkan tarikh baharu untuk menyambung semula operasi.
Reaktor ketujuh di Kashiwazaki-Kariwa dijangka hanya akan diaktifkan semula menjelang tahun 2030, manakala lima lagi reaktor lain berkemungkinan akan ditamatkan perkhidmatannya.
Langkah tersebut bakal menyaksikan kapasiti loji berkenaan jauh lebih rendah berbanding keupayaan asalnya ketika kesemua tujuh reaktor beroperasi sepenuhnya suatu ketika dahulu. -AGENSI










