BEIRUT: Tentera Zionis melancarkan serangan udara ke atas empat pintu sempadan Syria-Lubnan dengan mendakwa lokasi tersebut digunakan oleh kumpulan Hezbollah untuk menyeludup senjata.
Serangan itu berlaku susulan bedilan terdahulu di selatan Lubnan yang meragut sekurang-kurangnya dua nyawa dan mencederakan hampir 20 yang lain.
Keganasan terbaharu itu diteruskan meskipun perjanjian gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) dimeterai pada 2024 bagi menamatkan konflik setahun antara Israel dan Hezbollah. Pihak Lubnan mendakwa Israel berulang kali melanggar perjanjian tersebut.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun dalam satu kenyataan lewat Rabu mengecam tindakan tersebut sebagai satu bentuk pencerobohan sistematik.
“Sekali lagi, Israel meneruskan polisi pencerobohan sistematik dengan melancarkan serangan udara ke atas perkampungan penduduk. Ini adalah peningkatan bahaya yang menyasarkan orang awam secara langsung,” tegas beliau.
Menurut Aoun, tindakan agresif yang berulang itu membuktikan keengganan Israel untuk mematuhi kewajipan mereka di bawah perjanjian penghentian permusuhan.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 19 orang cedera dalam serangan udara Israel di bandar Qanarit, selatan Lubnan.
Agensi Berita Nasional melaporkan pesawat pejuang Israel membedil bangunan di beberapa buah kampung termasuk al-Kharayeb, al-Ansar, Kfour, dan Jarjouh selepas tentera Israel mengeluarkan amaran serangan.
Terdahulu, kementerian mengesahkan dua individu maut dalam serangan berasingan yang menyasarkan kenderaan di bandar Zahrani dan Bazuriyeh. Seorang jurugambar agensi berita AFP turut dilaporkan cedera ringan bersama dua lagi wartawan ketika membuat liputan berhampiran lokasi serangan di Qanarit.
Hezbollah sebelum ini menolak gesaan untuk menyerahkan senjata mereka selagi serangan Israel berterusan. Menurut statistik AFP, serangan Israel membunuh lebih 350 orang di Lubnan sejak gencatan senjata ditandatangani pada November 2024.










