Iran isytihar perang jika AS serang Ayatollah

Iran isytihar perang jika AS serang Ayatollah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengeluarkan amaran keras sebarang serangan ke atas Pemimpin Agung negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, akan dianggap sebagai pengisytiharan perang.

Kenyataan tersebut dibuat menerusi hantaran di platform X, dipercayai sebagai maklum balas terhadap spekulasi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang mempertimbangkan percubaan untuk membunuh atau menjatuhkan Ayatollah.

“Serangan terhadap pemimpin agung negara kami adalah sama dengan melancarkan perang berskala penuh terhadap seluruh bangsa Iran,” tegas Pezeshkian.

Presiden Iran itu turut menuding jari kepada AS sebagai dalang di sebalik gelombang protes yang menggoncang Iran sejak dua minggu lalu, yang dilaporkan sudah mengorbankan ribuan nyawa penunjuk perasaan.

“Jika terdapat kesusahan dan kekangan dalam kehidupan rakyat Iran yang dikasihi, antara punca utamanya adalah permusuhan berpanjangan dan sekatan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh kerajaan AS serta sekutu-sekutunya,” ujar Pezeshkian.

Terdahulu, dalam satu temu bual bersama Politico pada Sabtu, Trump menggesa agar pemerintahan Ayatollah selama hampir 40 tahun ditamatkan, sambil menyifatkan beliau sebagai seorang lelaki yang sakit yang sepatutnya mentadbir negara dengan betul dan berhenti membunuh rakyat.

Gelombang keresahan terbaharu di Iran bermula pada 28 Disember lalu, berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap kadar inflasi yang melambung tinggi, kejatuhan nilai mata wang, dan kesempitan ekonomi.

Demonstrasi yang bermula di Teheran itu merebak pantas ke bandar-bandar lain, bertukar daripada bantahan kos sara hidup kepada tuntutan perubahan rejim.

Bagi membendung gerakan tersebut, pihak berkuasa Iran bertindak menutup hampir keseluruhan perkhidmatan internet dan telefon pada 8 Januari.

Langkah itu bertujuan memutuskan hubungan global, mengaburkan skala sebenar pergolakan, serta menyekat laporan bebas.

Pada Selasa lalu, Trump menggesa rakyat Iran untuk terus berprotes dan mengambil alih institusi kerajaan sambil menjanjikan bahawa bantuan dalam perjalanan, ketika laporan mengenai serangan tentera ke atas Iran semakin bertiup kencang.

Bagaimanapun, pada Rabu, AS dilaporkan hampir melancarkan serangan ketenteraan namun membatalkannya pada saat akhir selepas Trump memilih untuk menangguhkan tindakan tersebut ekoran tekanan diplomatik serantau.

Portal berita Axios melaporkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi amaran kepada Trump Israel tidak bersedia untuk menghadapi tindak balas Iran dan mempersoalkan keberkesanan serangan AS tersebut.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, juga dilaporkan menggesa AS agar menahan diri demi menjaga kestabilan serantau. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN