Industri Jerman kecam tuntutan Trump, gesa Eropah tidak tunduk

Industri Jerman kecam tuntutan Trump, gesa Eropah tidak tunduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Sektor industri Jerman menyuarakan kemarahan terhadap rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan tarif sebagai tekanan bagi memaksa Denmark menjual Greenland, sambil menggesa Eropah agar tidak tunduk kepada tuntutan tersebut.

Ancaman Trump untuk melaksanakan gelombang kenaikan tarif terhadap sekutu Eropah sehingga AS dibenarkan membeli pulau strategik itu dilihat menggugat kestabilan perniagaan.

Sebelum ini, hubungan perdagangan antara Brussels dan Washington berada dalam fasa tenang susulan perjanjian perdagangan yang dicapai pada musim panas lalu.

Jerman amat terdedah kepada kesan tarif ini memandangkan ekonominya yang bergantung kepada eksport baru sahaja mula pulih daripada kemerosotan selama dua tahun.

Ketegangan perdagangan global setakat ini telah menjejaskan permintaan terhadap produk utamanya seperti automotif, jentera, dan bahan kimia.

“Jika Kesatuan Eropah (EU) mengalah dalam isu ini, ia hanya akan menggalakkan Presiden AS untuk mengemukakan tuntutan ‘merapu’ yang lain dan mengancam dengan lebih banyak tarif,” tegas Presiden Persatuan Kejuruteraan Jerman (VDMA), Bertram Kawlath kepada Reuters.

Nada yang sama disuarakan oleh pakar perdagangan luar di Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK), Volker Treier, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak boleh diterima.

“Matlamat politik yang sangat kontroversi kini dikaitkan dengan sekatan ekonomi dalam cara yang tidak wajar,” katanya.

Kedua-dua pihak menggesa tindak balas bersepadu daripada EU, menyokong kenyataan serupa yang dikeluarkan oleh ketua persatuan automotif Jerman (VDA) pada Sabtu.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk penggunaan Instrumen Anti-Paksaan milik EU, satu mekanisme yang belum pernah digunakan sebelum ini bagi membalas tindakan negara ketiga yang mengenakan tekanan ekonomi terhadap ahli blok tersebut.

Ancaman terbaharu ini berisiko membatalkan perjanjian awal yang dicapai Trump tahun lalu dengan EU dan Britain.

Pihak VDMA dan DIHK turut meragui peluang ahli Parlimen EU untuk mengundi perjanjian dengan Washington bulan ini, yang sepatutnya melibatkan penghapusan duti import EU terhadap barangan AS.

“Parlimen Eropah tidak mungkin dapat membuat keputusan mengenai pemotongan tarif untuk AS minggu depan selagi Washington menekan EU dengan tarif punitif yang baharu,” kata Kawlath.

Rejim tarif semasa Trump yang mengenakan levi asas sebanyak 15 peratus namun lebih tinggi bagi produk keluli dan aluminium telah pun membebankan syarikat Jerman, terutamanya gergasi automotif.

Eksport Jerman ke AS mencatat nilai lebih 135 bilion euro (RM636.9 bilion) antara Januari hingga November 2025, turun sembilan peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Volkswagen menganggarkan kos tarif mencecah 5 bilion euro (RM23.59 billion) pada 2025 manakala jenama lain seperti Mercedes-Benz, Porsche, serta kumpulan kimia BASF turut terkesan.

Seorang pemimpin kesatuan sekerja di Lower Saxony, lokasi pangkalan Volkswagen, turut menyatakan kebimbangan kenaikan tarif ini boleh menggagalkan pemulihan ekonomi terbesar Eropah itu di saat sektor industri sedang mengalami pertumbuhan yang perlahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN