EU rancang aktifkan ‘big bazooka’ balas ugutan tarif Trump

EU rancang aktifkan ‘big bazooka’ balas ugutan tarif Trump

EMMANUEL MACRON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) sedang memperincikan langkah balas terhadap ugutan tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump termasuk mengaktifkan instrumen anti-paksaan (ACI) selain mengenakan sekatan ekonomi yang lebih tegas ke atas barangan dari Washington.

Langkah ini diambil selepas pemimpin Eropah menyelar ancaman Presiden AS, Donald Trump untuk mengenakan cukai import baharu terhadap lapan negara yang menentang usahanya untuk memiliki Greenland, tindakan yang disifatkan oleh seorang menteri sebagai satu bentuk ‘ugutan’.

“Ancaman tarif ini menjejaskan hubungan rentas Atlantik dan berisiko mencetuskan krisis ekonomi yang berbahaya.Kami komited untuk mempertahankan kedaulatan kami,” menurut kenyataan bersama pemimpin dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom (UK), Belanda, dan Finland.

Diplomat tertinggi EU mengadakan rundingan krisis pada Ahad bagi membincangkan rancangan mengaktifkan semula tarif bernilai 93 bilion euro (RM438 bilion) terhadap barangan AS.

Pelan tersebut sebelum ini ditangguhkan selepas perjanjian perdagangan dicapai dengan Trump pada musim panas lalu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dilaporkan menggesa rakan sejawatnya untuk mengaktifkan instrumen ACI oleh EU yang lebih dikenali sebagai ‘big bazooka’ sekiranya Trump meneruskan ancamannya.

Undang-undang anti-paksaan EU, yang sehingga kini belum pernah digunakan, membolehkan blok tersebut mengenakan tindakan ekonomi punitif terhadap mana-mana negara yang cuba memaksa perubahan dasar melalui tekanan ekonomi.

Menurut sumber diplomatik, EU turut mempertimbangkan untuk mengaktifkan semula pakej tarif balas yang menyasarkan kereta buatan AS, barangan pembuatan dan mesin serta produk pertanian dan pengguna.

Susulan mesyuarat tersebut, Ketua Majlis Eropah, António Costa, mengumumkan satu sidang kemuncak tergempar EU yang dijangka berlangsung pada Khamis ini.

Beliau menegaskan EU menunjukkan kesediaan untuk mempertahankan diri daripada sebarang bentuk paksaan walaupun beberapa pihak menekankan jalan dialog dengan pihak Washington masih menjadi keutamaan sebelum tindakan drastik diambil.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menyifatkan tarif Trump sebagai satu kesilapan besar, manakala Menteri Luar Belanda, David van Weel melabelkan ancaman terhadap sekutu mereka sebagai satu ugutan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN