WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menamakan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan bekas Perdana Menteri Britain, Sir Tony Blair sebagai antara ahli lembaga eksekutif pengasas kepada Lembaga Keamanan Gaza.
Menurut kenyataan Rumah Putih, utusan khas Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff serta menantu Presiden, Jared Kushner turut dilantik menganggotai badan berkenaan.
Trump sendiri akan bertindak sebagai pengerusi lembaga itu, yang merupakan sebahagian daripada pelan 20 perkara beliau untuk menamatkan perang antara Israel dan Hamas.
Lembaga berkenaan dijangka mengambil alih pentadbiran sementara Gaza serta menguruskan usaha pembinaan semula wilayah tersebut sementara Blair akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi Palestin serta mewujudkan prasyarat ke arah penyelesaian dua negara.
Struktur penuh Lembaga Keamanan itu masih belum diperincikan, namun dua lembaga kanan diumumkan secara rasmi iaitu Lembaga Eksekutif Pengasas yang memberi tumpuan peringkat tinggi terhadap pelaburan dan diplomasi.
Selain itu Lembaga Eksekutif Gaza bertanggungjawab menyelia semua kerja lapangan di bawah satu lagi entiti pentadbiran, iaitu Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG).
Ahli-ahli penting lembaga tersebut termasuk Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan; Diplomat kanan Qatar, Ali Thawadi; Ketua Perisikan Mesir, Hassan Rashad, Menteri Kerjasama Antarabangsa Emiriah Arab Bersatu (UAE), Reem Al-Hashimy dan jutawan Israel, Yakir Gabai.
Pesuruhjaya Agung NGAC, Ali Shaath berkata, badan teknokrat itu akan berusaha memulihkan perkhidmatan asas dan membina semula sebuah masyarakat yang berteraskan keamanan.
“Kami komited untuk mewujudkan keselamatan, memulihkan perkhidmatan penting yang menjadi asas kepada maruah kemanusiaan seperti bekalan elektrik, air, kesihatan dan pendidikan, di samping membentuk sebuah masyarakat yang berakar pada keamanan, demokrasi dan keadilan.
“Dengan beroperasi mengikut piawaian tertinggi integriti dan ketelusan, NGAC akan membina sebuah ekonomi produktif yang mampu menggantikan pengangguran dengan peluang untuk semua,” katanya
Turut menganggotai lembaga eksekutif pengasas itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif sebuah firma ekuiti persendirian, Marc Rowan; Presiden Bank Dunia, Ajay Banga; serta penasihat keselamatan negara AS, Robert Gabriel.
Menurut kenyataan Rumah Putih, setiap ahli akan memegang portfolio yang dianggap kritikal kepada usaha penstabilan Gaza dan kejayaan jangka panjangnya.
Trump pada Khamis lalu mengesahkan pembentukan lembaga tersebut, sambil menyifatkannya sebagai lembaga paling hebat dan berprestij yang pernah dihimpunkan.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney turut dijemput menyertai lembaga berkenaan dan akan menerima pelawaan itu, menurut pejabatnya kepada BBC.
Presiden Argentina, Javier Milei pula berkongsi imej jemputan untuk menyertai lembaga itu di platform X, sambil menyatakan ia merupakan satu ‘penghormatan’ untuk mengambil bahagian.
Sementara itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan juga menerima jemputan, menurut Menteri Luar negara itu, sambil memaklumkan pihaknya masih mengkaji perkara tersebut.









