AS mula pindahkan tahanan berkaitan ISIL dari Syria ke Iraq

AS mula pindahkan tahanan berkaitan ISIL dari Syria ke Iraq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Amerika Syarikat (AS) memulakan proses pemindahan tahanan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan ISIL dari timur laut Syria ke Iraq.

Langkah ini diambil ketika tentera kerajaan Syria mula menguasai semula lebih banyak wilayah yang sebelum ini dikuasai oleh Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish.

Dalam satu kenyataan, pihak tentera AS mengesahkan seramai 150 tahanan dari kem Hasakah, Syria dipindahkan ke satu lokasi selamat di Iraq.

Pemindahan ini dilakukan berikutan kemaraan tentera kerajaan Syria ke kawasan timur laut negara itu, di mana terletaknya beberapa kem dan penjara yang menempatkan anggota ISIL serta keluarga mereka.

Sebelum ini, kemudahan tersebut dikawal dan diuruskan sepenuhnya oleh SDF.

Apabila tentera kerajaan mara, SDF dilaporkan berundur dari beberapa lokasi strategik, termasuk kem al-Hol, iaitu kem terbesar di Syria yang menempatkan ahli keluarga anggota ISIL.

Pihak kerajaan Syria juga telah mengumumkan gencatan senjata baharu dengan SDF lewat Selasa lalu.

Menurut tentera AS, dianggarkan sehingga 7,000 individu yang mempunyai kaitan dengan ISIL bakal dipindahkan ke kemudahan kawalan Iraq.

“Kami sedang menyelaras rapat dengan rakan serantau, termasuk kerajaan Iraq. Kami amat menghargai peranan mereka dalam memastikan kekalahan mutlak ISIS terus terpelihara,” ujar Ketua Pasukan AS di Asia Barat, Laksamana Brad Cooper.

Beliau berkata, pemindahan selamat ini amat kritikal bagi mengelakkan kejadian meloloskan diri secara besar-besaran yang boleh mengancam keselamatan AS dan kestabilan serantau.

Pengumuman ini hadir sehari selepas utusan khas AS ke Syria menyatakan rakan utama mereka dalam menentang ISIL kini adalah kerajaan Syria, bukannya lagi SDF yang memegang peranan tersebut selama bertahun-tahun.

Kerajaan Iraq mengesahkan telah meluluskan langkah tersebut selepas memantau perkembangan keselamatan di Syria, terutamanya mengenai isu kawalan ke atas pengganas yang ditahan.

“Majlis Keselamatan Negara meluluskan penerimaan pengganas warga Iraq dan kewarganegaraan lain yang sebelum ini ditahan di penjara bawah kawalan SDF.

“Kumpulan pertama seramai 150 elemen pengganas telah pun diterima, melibatkan mereka yang bertanggungjawab menumpahkan darah rakyat Iraq yang tidak bersalah,” kata jurucakap panglima tertinggi angkatan tentera Iraq, Sabah al-Numan. -ALJAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN