Araghchi bidas WEF batal jemputan untuk Iran

Araghchi bidas WEF batal jemputan untuk Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATEHRAN: Menteri Luar Iran membidas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Davos kerana membatalkan kehadirannya susulan tindakan keras terhadap protes baru-baru ini, dengan menyifatkan keputusan itu berdasarkan pembohongan dan tekanan politik.

Protes di Iran yang tercetus akibat tekanan ekonomi pada akhir Disember lalu berkembang menjadi cabaran terbesar buat kepimpinan Iran dalam tempoh bertahun-tahun, dengan skala sebenar tindakan keras dan keganasan masih belum didedahkan sepenuhnya berikutan sekatan internet.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, pada asalnya dijadualkan berucap di perhimpunan tahunan elit global di Switzerland itu.

Namun jemputannya ditarik balik selepas WEF menyatakan ia tidak wajar berikutan kehilangan nyawa orang awam di Iran sejak beberapa minggu lalu.

Menerusi hantaran di laman X pada lewat Isnin, Araghchi berkata, kehadirannya dibatalkan atas dasar pembohongan dan tekanan politik daripada Israel serta proksi dan penyokong mereka yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai sikap talam dua muka yang nyata kerana membatalkan jemputannya tetapi dalam masa yang sama menjemput Israel selepas perang di Gaza.

Beliau menambah, perkara itu mencerminkan kemerosotan moral dan kemuflisan intelektual.

Pegawai Iran sebelum ini menyatakan demonstrasi tersebut pada asalnya adalah aman sebelum bertukar menjadi rusuhan yang didalangi oleh seteru utama mereka iaitu AS dan Israel bagi menggugat kestabilan negara.

Hantaran Araghchi di X turut disertakan dengan sebuah video yang mendakwa demonstrasi tersebut adalah operasi pengganas yang dicetuskan oleh agensi perisikan Israel, Mossad.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia mendakwa mereka mengesahkan sekurang-kurangnya beberapa ribu penunjuk perasaan terbunuh di tangan pasukan keselamatan Iran, dengan beberapa anggaran meletakkan angka kematian sebenar mencecah sehingga 20,000 orang.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Iran Human Rights yang berpangkalan di Norway, yang setakat ini mengesahkan kematian sekurang-kurangnya 3,428 penunjuk perasaan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN