JHARKHAND: Sekurang-kurangnya 20 maut akibat serangan seekor gajah liar dalam tempoh sembilan hari di negeri Jharkhand, timur India, menurut pihak berkuasa, yang memaklumkan haiwan tersebut masih belum ditangkap.
Kematian tersebut dilaporkan berlaku antara 1 hingga 9 Januari di kawasan hutan Chaibasa dan Kolhan di daerah West Singhbhum, yang merupakan sebahagian daripada hutan Sal terbesar di Asia.
Konflik antara manusia dan gajah sering dilaporkan di rantau itu, dengan pegawai dan penyelidik mengaitkan penyusutan kawasan hutan, pemecahan habitat serta peningkatan aktiviti manusia berhampiran laluan gajah.
Menurut pihak berkuasa, operasi pencarian besar-besaran melibatkan lebih 100 anggota perhutanan sedang dijalankan bagi menjejaki gajah berkenaan.
“Ini adalah situasi yang belum pernah berlaku. Ini kali pertama corak kematian seperti ini dikaitkan dengan seekor gajah jantan tunggal di rantau ini,” kata Pegawai Perhutanan Bahagian, Kuldeep Meena, sambil menambah seluruh kawasan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda.
Beliau berkata, keutamaan segera pihak berkuasa adalah menjejaki, menangkap dan mengembalikan gajah itu dengan selamat ke habitat liar.
Majistret daerah, Chandan Kumar, memberitahu BBC seorang pekerja hutan turut termasuk dalam 20 mangsa yang terkorban. Pihak berkuasa mengumumkan pampasan kewangan kepada keluarga mangsa.
Kebanyakan kematian berlaku pada waktu malam ketika penduduk menjaga padi yang disimpan di sawah dan bangsal, satu amalan biasa di kawasan luar bandar India.
Pegawai perhutanan berkata, gajah berkenaan masih muda, lincah dan kerap menukar lokasi khususnya pada waktu malam, sekali gus menyukarkan usaha menjejakinya.
Pasukan penyelamat menggunakan amaran bunyi gendang tradisional untuk memberi peringatan kepada penduduk serta menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar atau tidur di luar rumah pada waktu malam.
Meena berkata, penilaian awal menunjukkan gajah itu mungkin berada dalam fasa mengawan, apabila gajah jantan mengalami peningkatan tahap agresif akibat paras testosteron yang tinggi.
Pegawai memaklumkan tingkah laku sedemikian lazimnya reda dalam tempoh 15 hingga 20 hari.
Mereka juga percaya gajah tersebut mungkin terpisah daripada kumpulannya, sekali gus menekankan keperluan untuk menjejaki haiwan itu dan membolehkannya kembali bergabung dengan gajah lain di dalam hutan. -BBC










