18 terkorban kebakaran hutan di Chile, Presiden isytihar darurat bencana

18 terkorban kebakaran hutan di Chile, Presiden isytihar darurat bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANTIAGO: Kebakaran hutan marak melanda bahagian tengah dan selatan Chile dilaporkan meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa, memusnahkan ribuan hektar hutan serta puluhan kediaman ketika negara Amerika Selatan itu sedang berdepan gelombang haba melampau.

Presiden Chile, Gabriel Boric mengisytiharkan status darurat bencana di wilayah Biobío dan wilayah jiran, Ñuble, yang terletak kira-kira 500 kilometer ke selatan ibu negara, Santiago.

Menteri Keselamatan Chile, Luis Cordero, memaklumkan pengisytiharan darurat ini membolehkan penyelarasan lebih meluas dengan pihak tentera bagi mengawal 24 titik kebakaran yang setakat ini menjilat 8,500 hektar kawasan dan memaksa pemindahan 50,000 penduduk.

Di sebalik pengisytiharan tersebut, pegawai tempatan melaporkan kemusnahan berlaku di mana-mana manakala bantuan kerajaan persekutuan didakwa lewat tiba.

“Tuan Presiden Boric, saya sudah berada di sini selama empat jam, komuniti ini sedang terbakar dan tiada kelibat pihak kerajaan di sini.

“Bagaimana seorang menteri hanya boleh menelefon saya untuk menyatakan tentera akan tiba pada suatu masa nanti tanpa tindakan segera?” tegas Datuk Bandar Penco, Rodrigo Verasebuah bandar pesisir pantai kecil di wilayah Biobío.

Pasukan bomba bergelut untuk memadamkan marakan api, namun angin kencang dan cuaca panas terik melebihi 38 darjah Celsius menyukarkan usaha memadamkan kebakaran pada Ahad.

Ramai penduduk menyifatkan kebakaran itu berlaku secara mengejut selepas tengah malam, menyebabkan ramai terperangkap di dalam rumah.

“Ramai yang tidak berpindah kerana menyangka api akan terhenti di pinggir hutan.

“Api benar-benar di luar kawalan. Tiada sesiapa menjangkakannya,” kata John Guzmán, 55, ketika meninjau keadaan di Penco yang kini diselubungi jerebu tebal berwarna oren.

Meskipun jumlah kediaman yang musnah di seluruh negara masih belum dapat dipastikan, majlis perbandaran Concepción di Biobío melaporkan sebanyak 253 buah rumah telah hangus dijilat api.

Saksi melaporkan penemuan mayat yang rentung di kawasan padang, di dalam rumah, di sepanjang jalan raya, dan di dalam kenderaan.

“Kami melarikan diri bersama anak-anak dalam kegelapan,” kata seorang penduduk, Juan Lagos, 52.

Kebakaran itu dilaporkan meranapkan sebahagian besar bandar tersebut, termasuk kereta, sekolah, dan sebuah gereja.

Seorang pelajar, Matias Cid, 25, menceritakan betapa pantasnya api marak pada waktu malam.

“Kami terpaksa lari sehelai sepinggang. Jika kami terlambat walaupun 20 minit, kami pasti sudah rentung,” katanya kepada AFP.

Selain Penco, pekan pelabuhan kecil Lirquén turut terjejas teruk. Penduduk, Alejandro Arredondo, 57, berkata, ramai yang menyelamatkan diri dengan berlari ke arah pantai.

“Tiada apa lagi yang tinggal,” tambahnya sayu melihat sisa logam dan kayu yang dahulunya merupakan kediaman penduduk. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN