SHROPSHIRE: Kejadian luar biasa menggemparkan bandar Whitchurch di sini apabila satu lubang benam berskala besar terbentuk secara tiba-tiba di Terusan Shropshire Union, menyebabkan beberapa bot terusan tertimbus dan operasi menyelamat segera dilancarkan awal pagi Isnin.
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Shropshire memaklumkan, lubang benam berukuran kira-kira 50 meter panjang dan lebar itu dikesan terbentuk sekitar pukul 4.22 pagi waktu tempatan, sekali gus mengakibatkan dua bot terperangkap dalam lumpur tebal.
Menurut pihak berkuasa, sebuah lagi bot turut berada dalam keadaan berbahaya apabila condong di tepi cerun lubang benam berkenaan, menimbulkan kebimbangan risiko runtuhan susulan.
Susulan kejadian itu, insiden berkenaan diisytiharkan sebagai “kejadian besar” dengan pasukan penyelamat pelbagai agensi digerakkan ke lokasi bagi memastikan keselamatan penduduk dan pemilik bot.
Sekurang-kurangnya 10 individu berjaya diselamatkan dari kawasan terjejas dan setakat ini tiada kecederaan serius dilaporkan, menurut kenyataan rasmi perkhidmatan kecemasan.
Imej yang dikongsi pihak bomba menunjukkan beberapa bot sempit, yang lazimnya digunakan sebagai rumah terapung atau bot rekreasi di Britain, kini terdampar di dasar terusan yang kering sepenuhnya akibat kebocoran air.
Pihak berkuasa memaklumkan, kejadian dipercayai berpunca daripada tanah runtuh besar yang menyebabkan struktur dasar terusan gagal menampung tekanan air, sekali gus mempercepatkan pembentukan lubang benam tersebut.
Penduduk tempatan serta pemilik bot yang terjejas telah dipindahkan ke kawasan selamat, manakala kerja-kerja penilaian keselamatan dan pembaikan struktur sedang dijalankan, dengan orang ramai dinasihatkan menjauhi kawasan berkenaan sehingga dimaklumkan sebaliknya.










