HAYMANA: Ketua Staf Angkatan Tentera Libya, Leftenan Jeneral Mohammed al-Haddad bersama empat pegawai tentera kanan lain maut pada lewat Selasa apabila pesawat peribadi mereka terhempas tidak lama selepas berlepas dari Ankara, menurut pihak berkuasa.
Bangkai pesawat Falcon 50 dinaiki mereka ditemui oleh pasukan keselamatan Turkiye di daerah Haymana berhampiran Ankara.
Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya, tiga kru pesawat turut terkorban.
Perdana Menteri Libya, Abdulhamid Dbeibah turut memaklumkan mengenai nahas tersebut di halaman Facebook beliau.
“Dengan rasa sedih dan dukacita yang mendalam, kami menerima berita kematian Ketua Staf Angkatan Tentera Libya, Leftenan Jeneral Mohammed al-Haddad,” katanya.
Haddad sebelum itu pada Selasa mengadakan perbincangan di Ankara bersama Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler dan rakan sejawatnya dari Turkiye, Selcuk Bayraktaroglu sebelum pulang ke Tripoli.
Yerlikaya berkata, pesawat dinaiki Mohammed berlepas dari lapangan terbang Esenboga, Ankara sebelum terputus hubungan 42 minit kemudian.
Pesawat mengeluarkan notifikasi pendaratan kecemasan berhampiran Haymana kira-kira 74 kilometer dari Ankara namun hubungan gagal dipulihkan, menurut menteri itu.
Seorang pegawai tinggi Turkiye memberitahu, pesawat meminta pendaratan kecemasan akibat kerosakan elektrik 16 minit setelah berlepas.
Jet itu membawa lapan penumpang, termasuk Haddad, empat anggota rombongannya dan tiga kru pesawat.
Menteri Keadilan Turkiye, Yilmaz Tunc berkata, pejabat pendakwa raya Ankara sudah memulakan siasatan rasmi terhadap insiden itu.-AFP










