BAITULMUQADDIS: Israel mendakwa seorang warganegara Russia bagi tuduhan mengintip untuk Iran, termasuk merakam gambar pelabuhan dan infrastruktur Israel atas arahan agensi perisikan Iran.
Menurut kenyataan pihak berkuasa Israel, individu berkenaan menerima bayaran dalam bentuk mata wang digital.
Perang bayangan yang berlarutan selama beberapa dekad antara Israel dan Iran meningkat menjadi konflik secara langsung pada Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan ke atas pelbagai sasaran di dalam Iran, termasuk melalui operasi yang melibatkan komando Mossad yang dikerahkan jauh ke dalam negara itu.
Israel sebelum ini telah menahan puluhan individu yang didakwa mengintip untuk Iran, yang menurut sumber kepada Reuters merupakan usaha terbesar Tehran dalam beberapa dekad untuk menyusup masuk ke negara musuh utamanya.
Penahanan tersebut menyusuli usaha berulang kali oleh ejen perisikan Iran selama bertahun-tahun untuk merekrut rakyat Israel biasa bagi mengumpul maklumat risikan dan melancarkan serangan sebagai balasan kepada bayaran wang.
Dalam satu kenyataan kepada media pada 2024 susulan gelombang penahanan rakyat Yahudi oleh Israel yang disyaki mengintip untuk Iran, misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tidak mengesahkan atau menafikan cubaan merekrut rakyat Israel.
Bagaimanapun, ia menyatakan dari sudut logik, sebarang usaha sedemikian oleh perkhidmatan perisikan Iran akan menumpukan kepada individu bukan warga Iran dan bukan Muslim bagi mengurangkan kecurigaan.
Iran sebelum ini telah melaksanakan hukuman mati ke atas ramai individu yang dituduh mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Mossad Israel dan membantu operasinya di dalam negara itu.










