Hampir separuh Thailand dilanda pencemaran udara bahaya

Hampir separuh Thailand dilanda pencemaran udara bahaya

PESAWAT Air Asia melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai dalam keadaan jerebu teruk. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Hampir separuh wilayah di Thailand dilanda pencemaran udara berbahaya apabila paras debu halus PM2.5 direkodkan melebihi tahap selamat, dengan kepekatan tertinggi mencecah 78.7 mikrogram per meter padu (µg/m³), yang disifatkan sebagai sangat memudaratkan kesihatan.

Beberapa wilayah utama mengalami jerebu tebal dan tahap pencemaran berbahaya, termasuk Bangkok, Nakhon Pathom, Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan dan Ayutthaya, selain beberapa wilayah lain di tengah, timur laut dan barat negara itu.

Antara wilayah lain yang turut terjejas ialah Samut Songkhram, Ang Thong, Saraburi, Suphan Buri, Ratchaburi, Nong Khai, Phetchaburi, Kanchanaburi serta Chon Buri, dengan kualiti udara berada pada tahap tidak selamat untuk kumpulan sensitif dan orang awam.

Bagaimanapun, enam wilayah mencatatkan kualiti udara sangat baik, kebanyakannya terletak di selatan Thailand, dengan bacaan PM2.5 antara 10.2 hingga 13.7 µg/m³.

Wilayah berkenaan ialah Krabi, Songkhla, Nakhon Si Thammarat, Phuket, Mae Hong Son dan Satun.

Beberapa wilayah lain pula merekodkan kualiti udara pada tahap baik hingga sederhana, namun pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya terus memantau keadaan semasa dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya bacaan pencemaran meningkat.

Pencemaran udara akibat habuk halus PM2.5 kekal menjadi isu berulang di Thailand, khususnya pada musim kering, dan sering dikaitkan dengan pembakaran terbuka, aktiviti industri serta pelepasan kenderaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN