WHO gesa kawalan ketat jualan produk nikotin sasar kanak-kanak, remaja

WHO gesa kawalan ketat jualan produk nikotin sasar kanak-kanak, remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Rokok elektronik sekali guna yang tampak bergaya dan pek nikotin berperisa manisan antara pelbagai produk baharu yang menyasarkan golongan muda dan mencetus gelombang baharu ketagihan tembakau serta nikotin, menurut amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Berucap pada pembukaan Persidangan Global Mengenai Kawalan Tembakau, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan jumlah kanak-kanak dan remaja yang tertarik kepada produk baharu ini meningkat mendadak ke tahap membimbangkan.

“Sekolah kini menjadi barisan hadapan dalam perang menentang tembakau dan nikotin, di mana syarikat secara aktif merekrut generasi penagih baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak 20 tahun lalu, penggunaan tembakau dalam kalangan golongan muda menurun satu pertiga di peringkat global. Penurunan ini mendorong pengeluar tembakau untuk membangunkan produk baharu sebagai strategi bagi menarik pelanggan baru,” katanya.

Dalam laporan WHO yang dikeluarkan bulan lalu, dianggarkan hampir 15 juta remaja di seluruh dunia kini menggunakan rokok elektronik, menurut kenyataan Tedros pada mesyuarat ke-11 negara peserta pada Konvensyen Rangka Kerja WHO mengenai Kawalan Tembakau (FCTC).

Tedros memuji kemajuan dramatik yang dicapai sejak beberapa dekad lalu dalam mengekang tabiat berbahaya ini, walaupun dianggarkan lebih lapan juta orang di seluruh dunia meninggal dunia akibat penyakit berkaitan tembakau setiap tahun.

Agensi kesihatan PBB itu mempersoalkan pemasaran rokok elektronik dan produk baharu lain oleh industri tembakau sebagai alternatif lebih selamat berbanding tembakau tradisional atau sebagai bantuan untuk berhenti merokok.

“Tiada bukti manfaatnya untuk kesihatan awam, malah bukti bahaya semakin meningkat. Produk-produk ini sebaliknya digunakan untuk merekrut perokok muda,” tegas Tedros.

Laporan WHO baru-baru ini menunjukkan di 63 negara yang mempunyai data, purata kadar penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja adalah sembilan kali lebih tinggi berbanding orang dewasa.

“Jelas sekali, syarikat yang menghasilkan produk ini bukan didorong oleh pengurangan bahaya atau kesihatan awam. Mereka hanya dimotivasi oleh satu perkara sahaja, iaitu keuntungan besar untuk pemegang saham mereka,” katanya lagi.

Menurut Tedros, pihaknya menyeru semua negara untuk mengawal pek nikotin, rokok elektronik dan tembakau dipanaskan sekurang-kurangnya sama ketat seperti mereka mengawal produk tembakau konvensional.

Beliau menyambut baik beberapa negara yang melarang produk ini sepenuhnya dan menegaskan negara yang belum berbuat demikian harus menggunakan kawalan ketat terhadap perisa, pembungkusan, pemasaran, perlindungan jualan daripada campur tangan industri serta penguatkuasaan sekatan umur.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×