Trump ugut lancar serangan ke atas Nigeria, dakwa berlaku keganasan anti-Kristian

Trump ugut lancar serangan ke atas Nigeria, dakwa berlaku keganasan anti-Kristian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam untuk melancarkan serangan ke atas Nigeria sebagai tindak balas terhadap dakwaan keganasan anti-Kristian di negara itu, sambil mengarahkan Jabatan Perang agar bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan tindakan.

Dalam satu hantaran di media sosial, Trump berkata, AS akan segera menghentikan semua bentuk bantuan kepada Nigeria jika kerajaan negara itu terus membiarkan pembunuhan terhadap penganut Kristian berlaku.

“AS mungkin akan masuk ke negara itu dengan ‘senjata terhunus’, bagi menghapuskan sepenuhnya pengganas Islam yang melakukan kekejaman ini,” katanya, tanpa menjelaskan kumpulan mana atau kekejaman yang dimaksudkan.

“Saya dengan ini mengarahkan Jabatan Perang kita bersiap sedia untuk kemungkinan tindakan.

“Jika kita menyerang, ia akan dilakukan dengan pantas, kejam dan memuaskan sama seperti cara pengganas menyerang penganut Kristian kita yang DIKASIHI! AMARAN: KERAJAAN NIGERIA LEBIH BAIK BERTINDAK SEGERA!” tulisnya.

Kerajaan Nigeria belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap ancaman tersebut.

Kenyataan Trump itu dibuat sehari selepas beliau mengumumkan bahawa Nigeria akan dimasukkan ke dalam senarai ‘Negara yang Menjadi Keprihatinan Khas’ oleh Jabatan Negara AS, senarai yang diwujudkan untuk memantau penindasan agama di seluruh dunia.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ahli politik konservatif dan tokoh kanan di AS mendakwa keganasan di Nigeria merupakan sebahagian daripada kempen pembunuhan beramai-ramai terhadap Kristian.

Namun, kumpulan hak asasi manusia menegaskan, walaupun kerajaan Nigeria perlu berbuat lebih banyak untuk menangani ketidakstabilan dan serangan maut oleh Boko Haram serta kumpulan bersenjata lain, dakwaan mengenai pembunuhan beramai-ramai terhadap Kristian adalah tidak benar dan terlalu dangkal.

Penganalisis dasar Afrika di Council on Foreign Relations berpangkalan di Washington DC, Ebenezer Obadare, berkata, tindakan Trump menegur kelemahan kerajaan Nigeria dalam menangani ancaman Boko Haram memang tepat, tetapi retoriknya boleh memburukkan lagi ketegangan antara agama di negara tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN