WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menolak menyambung semula rundingan perdagangan dengan Kanada selepas pertikaian berhubung satu iklan antitarif yang disiarkan oleh wilayah Ontario.
“Saya sangat menyukai beliau, namun apa yang mereka lakukan adalah salah,” kata Trump merujuk kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, ketika bercakap kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One pada Jumaat.
Menurut Trump, rundingan tidak akan diteruskan walaupun Carney telah memohon maaf atas iklan berkenaan kerana ia palsu.
Minggu lalu, Trump menggantung rundingan perdagangan dengan Kanada selepas iklan tersebut disiarkan oleh kerajaan Ontario, sambil mengumumkan peningkatan tarif sebanyak 10 peratus tambahan terhadap negara itu.
Iklan berkenaan memaparkan rakaman bekas Presiden AS Ronald Reagan, yang menyatakan bahawa tarif ke atas barangan asing boleh mencetuskan perang perdagangan dan kehilangan pekerjaan. Reagan terkenal sebagai penyokong pasaran bebas dan perdagangan terbuka.
Walaupun begitu, Trump menegaskan beliau masih mempunyai hubungan yang baik dengan Carney, malah kedua-duanya dilaporkan mengadakan perbincangan positif ketika Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan baru-baru ini.
Beberapa hari sebelum itu, ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia, Carney menyatakan Kanada bersedia untuk menyambung semula rundingan perdagangan dengan Washington.
Keretakan rundingan ini menandakan satu perubahan mendadak dalam hubungan antara dua sekutu lama yang semakin tegang sejak Trump kembali memegang tampuk pemerintahan.
Kanada merupakan rakan dagang kedua terbesar AS serta pembekal utama keluli dan aluminium kepada syarikat-syarikat AS.
Walaupun sebahagian besar perdagangan rentas sempadan masih bebas tarif di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), langkah mengenakan tarif sektor tertentu khususnya terhadap keluli, aluminium dan automotif telah memberi kesan besar kepada ekonomi Kanada, menyebabkan kehilangan pekerjaan serta tekanan terhadap perniagaan tempatan. -AGENSI










