WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melaksanakan sekatan baharu terhadap wartawan dengan melarang mereka memasuki kawasan utama pejabat media Upper Press di Rumah Putih tanpa janji temu bagi melindungi maklumat sensitif kerajaan.
Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Steven Cheung, mendakwa wartawan didapati merakam video dan audio secara rahsia serta mengejutkan anggota Kabinet di kawasan tersebut, termasuk Setiausaha Akhbar Karoline Leavitt.
Beliau turut menuduh wartawan mencuri dengar perbincangan tertutup, namun tiada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan itu.
Memorandum daripada Majlis Keselamatan Negara (NSC) yang ditujukan kepada Leavitt dan Cheung menekankan dasar baharu ini bertujuan untuk melindungi maklumat sensitif daripada pendedahan tanpa kebenaran.
Wartawan masih dibenarkan mengakses kawasan Lower Press, berhampiran bilik sidang media utama.
Sekatan itu dibuat susulan perubahan struktur NSC yang kini dikawal oleh Setiausaha Negara, Marco Rubio, selepas bekas Penasihat Keselamatan Negara, Mike Waltz, dipindahkan berikutan kontroversi penggunaan aplikasi Signal untuk merancang operasi ketenteraan di Yaman.
Langkah pentadbiran Trump juga mengehadkan akses media arus perdana seperti AFP dan Associated Press (AP), sambil memberi keutamaan kepada media yang lebih pro-Trump.
AP turut dilarang menghadiri beberapa sesi utama selepas enggan mengiktiraf arahan presiden menukar nama Gulf of Mexico kepada Gulf of America.
Sekatan baharu ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan wartawan mengenai kebebasan media, namun pentadbiran Trump menegaskan ia adalah langkah keselamatan dalaman bagi memastikan urusan kerajaan berjalan tanpa gangguan.










