SINGAPURA: Lebih dua juta alat sedut herba Hong Thai dirampas oleh pihak berkuasa Thailand daripada kilang haram, beberapa hari selepas syarikat itu mengeluarkan penarikan balik produk kerana gagal dalam ujian kualiti kesihatan.
Hong Thai Herbal pada Selasa menarik balik satu siri alat sedut herba jenama Formula 2 yang popular selepas gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan dalam ujian pencemaran mikrobiologi oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA).
Menurut laporan The Nation, siasatan polis mendapati walaupun Hong Thai Herbal mempunyai lesen pengilangan untuk sebuah kilang di Bangkok, syarikat itu menghasilkan produk di fasiliti lain tanpa kelulusan FDA.
Pada Khamis, FDA menyerbu empat lokasi pengeluaran dan penyimpanan haram di Bangkok, merampas lebih 2.3 juta produk herba, termasuk 400,000 inhaler Formula 2 bernilai lebih 100 juta baht (AS$3.09 juta).
Setiausaha Agung FDA, Supatra Boonserm berkata, pihak berkuasa memberi amaran kepada Hong Thai Herbal supaya memohon permit yang diperlukan untuk fasiliti berkenaan, namun amaran itu diabaikan.
Katanya, fasiliti terbabit beroperasi secara haram selama tiga tahun dan FDA akan memulakan penarikan balik semua inhaler herba yang tidak selamat atau tanpa lesen berkaitan kes ini.
“Alat sedut herba Hong Thai yang tercemar di keempat-empat fasiliti tidak sah ini terdiri daripada pelbagai formulasi dan siri pengeluaran.
“Produk yang dihasilkan di tapak haram ini tidak boleh dijamin keselamatan atau kualitinya dan mungkin mengandungi bahan berbahaya kepada kesihatan,” kata Supatra.
Beliau menasihati pengguna supaya berhati-hati ketika membeli produk herba dan memeriksa sebarang tanda ketidakaturan atau label tidak sah
Pihak berkuasa Thailand juga akan menjalankan pemeriksaan rawak di farmasi seluruh negara bagi memastikan produk yang ditarik balik tidak lagi dijual.
Pengasas dan pemilik Hong Thai Herbal, Thiraphong Rabuetham, berkata syarikatnya belum dihubungi oleh pegawai FDA mengenai isu berkenaan dan belum memohon lesen pengeluaran bagi satu daripada fasiliti yang diserbu.
Di Thailand, sesiapa yang menghasilkan produk herba tidak berkualiti boleh dipenjarakan sehingga dua tahun, dikenakan denda sehingga 200,000 baht atau kedua-duanya. Penjual produk herba tidak berkualiti pula boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga 50,000 baht atau kedua-duanya.










